PERINTAH duduk di rumah untuk lebih daripada dua juta orang di bandar ketiga di Australia, Brisbane ditarik semula hari ini, mengakhirnya sekatan pergerakan koronavirus menjelang cuti Hari Easter yang kebiasaannya sibuk.
Sekatan selama tiga hari yang diarahkan pada Isnin menyaksikan sekolah, restoran dan bar terpaksa ditutup selepas wabak di Brisbane, dengan pegawai kesihatan berkata perlu untuk menghentikan penyebaran virus dan meningkatkan pengesanan kontak rapat.
Hanya satu kes baharu dikesan di Brisbane hari ini menjadikan jumlah kes itu menjadi 14 yang membolehkan sekatan dapat dikurangkan.
Topeng muka diwajibkan di tempat awam sementara larangan untuk berkumpul dan menari juga kekal.
Berita itu diharapkan dapat memberi kelegaan bagi sektor pelancongan yang terjejas di Queensland dengan destinasi popular kini dibuka sepenuhnya untuk pengunjung menjelang cuti umum bermula esok.
Bagaimananapun Bluesfest, festival muzik utama di Byron Bay dibatalkan hanya beberapa jam menjelang acara yang dirancang dijadualkan hari ini selepas kes positif berkaitan wabak di Brisbane direkodkan di bandar pesisir New South Wales.
Australia secara relatif berjaya membendung penyebaran koronavirus dengan hanya satu sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang wabak melanda dan kebanyakan wilayah kini hanya berdepan sekatan yang tidak ketat.
Negara ini melaporkan kira-kira 30,000 kes Covid-19 dan kurang daripada 1,000 kematian secara keseluruhan daripada populasi 25 juta termasuk yang dikesan dalam kuarantin untuk pelancong luar negara.
Tetapi Australia merupakan salah satu daripada negara kaya yang memiliki program vaksinasi yang sangat terhad dengan kira-kira 700,000 dos yang diberikan sehingga kini jauh lebih rendah dari rancagan awal untuk memvaksin empat juta orang pada akhir Mac. – AFP, 1 April, 2021.
Komen