RUSIA semalam mengumumkan telah mendaftarkan vaksin koronavirus pertama di dunia untuk haiwan, yang menggambarkan langkah itu penting bagi menganggu mutasi virus.
Negara itu berkata, pengeluaran vaksin secara besar-besaran mungkin bermula pada April.
Agensi pengawasan pertanian Rosselkhoznadzor berkata dalam satu kenyataan bahawa vaksin bernama Carnivak-Cov telah diuji sejak Oktober pada anjing, kucing, cerpelai, rubah dan haiwan lain serta terbukti berkesan.
“Semua haiwan yang diberi vaksin mengembangkan antibody terhadap koronavirus dalam 100% kes.
“Ini adalah produk pertama dan satu-satunya di dunia untuk mencegah Covid-19 pada haiwan,” kata kata Timbalan Ketua Rosselkhoznadzor, Konstantin Savenkov.
Rosselkhoznadzor berkata pengembangan suntikan itu akan membantu mencegah mutasi pada haiwan dan turut menyebut keputusan Denmark untuk membunuh 15 juta carpelai tahun lalu selepas beberapa orang didapati membawa varian virus bermutasi.
“Penggunaan vaksin menurut saintis Rusia dapat mencegah perkembangan mutasi virus,” kata kenyataan itu.
Agensi itu menambah bahawa kemudahan pembiakan haiwan dan syarikat swasta dari negara-negara termasuk Greece, Poland, Austria, Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura telah menyatakan minat mereka terhadap Carnivak-Cov.
Pegawai tentera di Saint Petersburg di Rusia mengumumkan minggu ini bahawa anjing tentera akan menjalani vaksinasi wajib sebelum dikerahkan ke lapangan terbang dan mengambil bahagian dalam peringatan Perang Dunia II seluruh negara pada Mei. – AFP, 1 April, 2021.
Komen