KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 13 kluster Covid-19, dua di antaranya berkaitan rentas negeri.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 12 kluster diisytiharkan sudah tidak aktif susulan berakhirnya tempoh pengawasan.
Justeru, jumlah kluster aktif di negara ini kini berjumlah 370.
Daripada kluster baharu yang dilaporkan hari ini, lima diklasifikasikan sebagai penularan dalam komuniti.
Antaranya ialah Kampung Baru Pasir Putih, yang mencatatkan lapan jangkitan dan kluster Rimbayan sebanyak 15 kes, yang disebabkan oleh rentas negeri.
Kedua-dua kluster ini dikesan di Sabah.
Kluster Rimbayan di Keningau dikesan susulan upacara pengebumian.
Selain itu, Kedah melaporkan dua kluster penularan dalam komuniti, sementara Sarawak merekodkan satu.
Kluster tempat kerja merupakan sebahagian besar kluster yang dilaporkan hari ini sebanyak tujuh.
Selangor dan Sarawak masing-masing melaporkan dua kluster tempat kerja, sementara Pulau Pinang, Kedah dan Labuan masing-masing melaporkan satu.
Kluster ini dilaporkan di kemudahan pendidikan, pusat pentadbiran awam dan kilang.
Kluster terakhir yang melibatkan komuniti berisiko tinggi dikesan di Johor Baru.
Kluster Lorong Mulia melibatkan sembilan kes selepas pesakit dialisis disahkan positif Covid-19 semasa pemeriksaan pra-kemasukan.
Noor Hisham juga berkata kluster Jalan Utarid, Jalan Ulu Choh, Jalan Wawasan 16, Jalan PKNK 3/3, Parit Haji Khamis, Taman Mawar, Pulau Rusa, Ria Jaya, Perdana, Industri Mahkota, Jalan DPB Lima dan Jalan Perubatan sudah tamat. – 31 Mac, 2021.
Komen