PEGAWAI polis yang terlibat dalam tragedi Memali perlu memberi keterangan berhubung insiden yang berlaku tiga dekad lalu mengorbankan 18 orang, termasuk empat anggota polis.
Abu Talib Othman yang berkhidmat sebagai peguam negara dari 1980 hingga 1993 berkata, polis perlu melihat semula serbuan ke atas ekstremis agama pada 1985 di sebuah kampung terpencil di Kedah.
“Polis perlu buka semula kertas siasatan. Polis yang menangani situasi itu. Mereka ada akses kepada semua, Mengapa perlu dipolitikkan? Kita mahukan keamanan dalam negara ini,” kata Abu Talib kepada wartawan hari ini.
Abu Talib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan pemimpin PAS dan kerajaan yang mahu siasatan suruhanjaya diraja ke atas tragedi itu.
Bekas peguam negara itu berkata, polis perlu berikan kenyataan mengenai apa “sebenarnya” yang berlaku kerana “mereka berada di tempat kejadian”.
“Mereka berada di sana. Mereka ada semua video apa yang berlaku,” katanya.
“Mengapa polis berdiam diri? Ia adalah tindakan polis. Dan kalau ada sesiapa yang lebih tahu, ia adalah anggota polis di lokasi kejadian. Mengapa KPN (Ketua Polis Negara) hanya diam? Beliau perlu tampil dan nyatakan kebenaran.”
Abu Talib turut mengulas berhubung rakaman video yang memaparkan penduduk kampung bersenjata.
“Saya masih ingat (melihat rakaman video) apa bila pedang dibawa keluar, wanita tua menjerit. Ia sangat menakutkan.
“Kamu lihat bagaimana lelaki itu keluar dengan parang dan menyerang polis. Dan polis memberi mereka amaran.
“Mengapa tidak polis tampil dan ceritakan semua apa yang berlaku di tempat kejadian. Mereka tahu. Mereka mengendalikan situasi itu,” kata Abu Talib dan menambah keadilan mesti ditegakkan.
Ditanya mengenai cadangan penubuhan RCI berhubung perkara itu, Abu Talib berkata, “Saya tidak tahu. Mengapa kamu mahukan semua RCI ini bila ia berlaku bertahun dulu. Polis yang sepatutnya membuka semula kertas siasatan.”
Satu Kertas Putih, yang disediakan Kementerian Dalam Negeri pada 1986, berkata polis bertindak berdasarkan undang-undang.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Ogos lalu berkata, kerajaan sedia untuk mengadakan RCI ke atas insiden Memali.
Cadangan itu dipersetujui oleh PAS, yang berkata pihaknya akan menubuhka satu jawatankuasa khas dan bantuan guaman untuk melihat kepada kebajikan mangsa Memali.
Dalam temubual dengan The Malaysian Insight pada Ogos lalu, bekas ketua polis negara Rahim Noor berkata siasatan akan mendedahkan peranan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam insiden itu.
“Sekiranya RCI diadakan, kita tidak dapat mengelakkan fakta “Amanat Hadi” memainkan peranan menyebabkan insiden Memali,” kata Rahim kepada The Malaysian Insight.
“Amanat Hadi” merujuk kepada ucapan presiden PAS pada 7 April, 1981 yang mengsytiharkan Umno dan Barisan Nasiona sebagai kerajaan kafir yang memerintah seperti penjajah. – 4 Januari, 2018.
Komen