Menteri kata Dr Mahathir menyedihkan, banding TN50 dengan Wawasan 2020


Noel Achariam

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau kecewa dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menimbulkan dakwaan remeh mengenai Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, beliau juga kecewa kerana kenyataan Dr Mahathir itu menunjukkan bekas perdana menteri itu seorang yang berdendam dan hanya mengutamakan legasi sebagai bekas perdana menteri.

“Bagi anda, ia hanyalah tentang legasi peribadi sahaja. Ia menjadi isu Wawasan 2020 vs TN50. Betapa sedihnya, dan betapa remeh sekali.

“Saya berharap generasi masa depan Malaysia tidak akan menjadi begitu berdendam dan tidak bertimbang rasa.

“(Saya berharap generasi itu) cukup baik budi dan berhati mulia dan menyokong apa yang patut disokong dan memuji apa yang patut,” kata Khairy.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang dilaporkan mendakwa TN50 ditiru daripada Wawasan 2020, cetusan bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir juga dilaporkan mendakwa TN50 adalah perakuan bahawa Wawasan 2020 tidak akan tercapai.

Menurut Khairy, beliau telah menjelaskan berulang kali bahawa TN50 dan Wawasan 2020 merupakan sebahagian daripada naratif agung mengenai kisah kejayaan Malaysia.

“Ia adalah penerusan kejayaan dan pembangunan. Tetapi bagi anda, ianya hanyalah tentang legasi anda. Saya, diri saya sendiri, Mahathir,” kata Khairy.

Jelasnya lagi, TN50 diolah daripada harapan yang dikumpul daripada golongan muda.

Wawasan 2020 diperkenal oleh Dr Mahathir semasa membentangkan Rancangan Malaysia Keenam.

Ia antara lain menggariskan sasaran Malaysia untuk menjadi negara yang berdikari, berindustri dan turut menetapkan hala tuju untuk mencapai kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial, pendidikan bertaraf dunia dan kestabilan politik. – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen