MENTERI Umno akan kekal dalam Kabinet dan kerajaan akan berfungsi seperti biasa, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Saya menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan dicapai semua menteri Umno akan terus kekal berada dalam Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Beliau berkata pertemuan itu diadakan pada Isnin susulan keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15.
“Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara.
“Beberapa menteri Umno memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini.
“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka daripada Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisatif Kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya.
Pada Ahad, PAU meluluskan resolusi untuk parti itu menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.
Ia juga meluluskan resolusi untuk terus menyokong kerajaan persekutuan hingga Parlimen dibubarkan.
Umno berharap Muhyiddin akan membubarkan Parliamen sebaik saja perintah darurat tamat pada 1 Ogos.
Dalam perhimpunan agung pada Ahad, perwakilan Umno menyerahkan kepada budi bicara Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk membuat keputusan bilakah tempoh yang sesuai untuk parti itu menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya mencabar seorang menteri Umno agar letak jawatan, selepas parti Melayu itu memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin dalam PRU15.
Beliau juga mengingatkan mereka bahawa jawatan menteri dan lain-lain dalam kerajaan yang disandang sekarang adalah kerana dukungan Umno.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga pada Ahad mengulangi kenyataan mendesak menteri dan timbalan menteri Umno letak jawatan daripada pentadbiran Muhyiddin.
Beliau berkata sewajarnya mereka letak jawatan segera atau seelok-eloknya pada hari itu juga.
Umno mempunyai sembilan menteri dan lima timbalan menteri dalam pentadbiran Muhyiddin yang dibentuk pada 1 Mac, 2020 selepas percaturan politik pada hujung Februari sebelumnya, yang dikenali sebagai episod Langkah Sheraton. – 31 Mac, 2021.
Komen