Sarawak rekod 153 kes baharu Covid-19, 2 kematian


Sehingga kini Sarawak mencatatkan 16,214 kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

SARAWAK mencatatkan 153 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 16,214 kes manakala dua kematian dilaporkan akibat virus itu dalam tempoh 24 jam, yang menjadikan jumlah keseluruhan 107 kematian.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kes kematian ke-106 merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun yang telah menerima rawatan di Hospital Miri kerana mengalami sesak nafas.

“Kes mempunyai gejala batuk sehari sebelum mendapatkan rawatan di hospital dan saringan ujian Covid-19 dengan rT-PCR adalah positif pada 28 Mac.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia 28 Mac, kes juga mempunyai komorbid penyakit darah tinggi,” menurut kenyataan itu.

Kes kematian ke-107, merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun yang menerima rawatan di Hospital Bintulu setelah saringan kontak rapat adalah positif pada 20 Mac.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia 30 Mac. Kes mempunyai komorbid penyakit darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 33 kluster yang masih aktif di Sarawak, daripada jumlah itu, sebanyak lapan kluster yang melaporkan terdapat penambahan kes, manakala 25 kluster lagi tidak ada penambahan kes. – Bernama, 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen