Beberapa prosiding PAC tertangguh berikutan penggantungan Parlimen


Ragananthini Vethasalam

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata jawatankuasa Parlimen sepatutnya meneruskan mesyuarat prosiding berikutnya bermula 11 Januari.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) hanya boleh menjalankan satu prosiding tahun ini, manakala yang lainnya terpaksa ditangguh berikutan penggantungan sidang Parlimen, kata pengerusinya Wong Kah Woh.

Wong memberitahu The Malaysian Insighthanya satu prosiding akan diadakan tahun ini iaitu prosiding berhubung perolehan vaksin Covid-19 dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada 5 Januari.

Beliau berkata jawatankuasa Parlimen sepatutnya meneruskan mesyuarat prosiding berikutnya bermula 11 Januari.

“Bagaimanapun, ia pada mulanya ditangguhkan berikutan pandemik dan selepas itu berikutan darurat,” katanya.

“Yang Dipertua telah mengeluarkan kenyataan selepas perisytiharan darurat untuk menyatakan semua prosiding jawatankuasa Dewan boleh diteruskan.

“Beliau bagaimanapun kemudiannya mengambil pendirian prosiding tidak boleh diadakan di bawah darurat,” kata Wong apabila ditanya sama ada jawatankuasa berkenaan sudah bermesyuarat walaupun Parlimen digantung.

Kebanyakan prosiding yang tertangguh adalah berkaitan kementerian pertahanan.

Ini termasuk prosiding berhubung perolehan kapal peronda generani kedua bagi Tentera Laut Diraja Malaysia melibatkan bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi dan bekas panglima tentera laut.

Menurut kalendar PAC 2021, prosiding ini sepatutnya diadakan pada 12 dan 13 Januari.

PAC juga dijadualkan untuk memulakan prosiding kes land swap di kem Hutan Melintang dan penguatkuasaan aktiviti keselamatan di zon maritim.

Prosiding lain yang turut dijadualkan adalah prosiding berhubung tuntutan faedah atas kelewatan bayaran projek perumahan PR1MA melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan projek penyenggara telaga tiub di sekolah luar bandar Sabah dan Sarawak, melibatkan Kementerian Pendidikan.

Prosiding melibatkan Amanah Raya Bhd turut tersenarai dalam kalendar berkenaan.

Tambahan kepada prosiding itu, PAC juga sepatutnya mengadakan lawatan tapak dan mengesahkan maklum balas dari kementerian mengenai pelbagai kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan sebelum ini menyatakan Parlimen tidak akan bersidang sehingga tempoh darurat tamat pada 1 Ogos. 

Ia bagaimanapun bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyatakan Parlimen boleh bersidang ketika darurat. – 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen