Rancangan SPRM pantau pilihan raya jangan hanya sekadar publisiti, kata pemerhati  


Low Han Shaun

Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel berkata, langkah perlu diambil bagi memastikan bilik operasi berkenaan digunakan sepenuhnya oleh masyarakat umum.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2018.

RANCANGAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menubuhkan bilik operasi pilihan raya tidak sepatutnya menjadi publisiti, kata kumpulan anti rasuah. 

Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel berkata, sekiranya penubuhan pusat itu kurang pendedahan dan kurang dimanfaatkan oleh masyarakat umum, ia dibimbangi hanya akan menjadi publisiti semata-mata. 

“Langkah SPRM untuk menubuhkan bilik operasi itu amat dialu-alukan sebagai usaha untuk membina sebuah institusi yang menghalang penyelewengan dalam pilihan raya. Apa yang dirancang oleh SPRM untuk pilihan raya akan datang merupakan apa yang diperlukan oleh Malaysia, tetapi langkah perlu diambil bagi memastikan masyarakat dalam menggunakan sepenuhnya rancangan membuka bilik operasi 24 jam pada Pilihan Raya Umum akan datang. 

“Bagaimana pun, kami bimbang penubuhan pusat itu kurang pendedahan dan kurang dimanfaatkan oleh masyarakat umum, ia dibimbangi hanya akan menjadi publisiti semata-mata,” kata Cynthia dalam satu kenyataan hari ini. 

C4 berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzukifli Ahmad pada Selasa mendedahkan rancangan untuk membuka bilik operasi 24 jam di setiap negeri bagi memantau penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. 

Beliau juga berkata SPRM sedia menerima laporan sebarang pelanggaran dalm Akta Pilihan Raya dan Akta SPRM menerusi pusat operasi berkenaan dan ia amat berguna kepada kumpulan pemerhati seperti PEMANTAU, yang ditubuhkan sebagai pemerhati untuk pilihan raya umum ke 14. 

Cynthia turut menggesa SPRM untuk mengeluarkan senarai penyelewengan kepada masyarakat umum bagi mengenal pasti pelanggaran peraturan berbanding hanya menunggu laporan rasmi. 

“Sebelum ini, tiada sebarang kerjasama langsung dengan kumpulan tadbir urus masyarakat awam yang baik untuk memantau secara teliti, mendokumentasikan atau melaporkan penyalahgunaan kuasa dan politik wang semasa pilihan raya.
 
” Kami melihat ini sebagai peluang utama untuk melibatkan diri sebagai pendekatan keseluruhan sistem dalam memerangi rasuah,” kata Cynthia. 

Tambahnya, laporan C4: Pranan dan Tugas SPR dan SPRM Dalam Menentukan Amalan Penyelewengan dalam Pilihan Raya, mempunyai kes politik wang yang digunakan untuk menang pilihan raya, yang disifatkan sebagai rasuah.

“Sementara itu, Pusat C4 sudah menghubung beberapa pejabat SORM negeri dan berharap akan menerima maklum balas positif untuk kerjasama tidak lama lagi.” – 4 Januari, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen