Menteri Umno jumpa Muhyiddin petang ini, kata sumber


Dipercayai ada kaitan dengan perkembangan terkini susulan Perhimpunan Agung Umno 2020 semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2021.

MENTERI-MENTERI Umno dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan perdana menteri petang ini, kata sumber, sehari selepas Umno menetapkan keputusan akan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional pada bila-bila masa.

Sumber pegawai menteri mengesahkan pertemuan itu berlangsung pada petang ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Ya, ada pertemuan pada petang ini,” kata sumber dengan syarat tidak dinamakan.

Seorang lagi pegawai di pejabat seorang menteri Umno juga mengesahkan pertemuan tersebut.

Kedua-dua sumber bagaimanapun tidak maklum mengenai agenda pertemuan itu, yang dipercayai ada kaitan dengan perkembangan terkini susulan Perhimpunan Agung Umno 2020 semalam.

Dalam perhimpunan itu, perwakilan Umno menyerahkan kepada budi bicara Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk membuat keputusan bilakah tempoh yang sesuai untuk parti itu menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya semalam mencabar menteri Umno agar letak jawatan, selepas parti Melayu itu memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah semalam mengulangi kenyataan mendesak menteri dan timbalan menteri Umno letak jawatan daripada pentadbiran Muhyiddin.

Beliau berkata sewajarnya mereka letak jawatan segera atau “seelok-eloknya hari ini (semalam) juga”.

Umno mempunyai sembilan menteri dan lima timbalan menteri dalam pentadbiran Muhyiddin yang dibentuk pada 1 Mac 2020 selepas percaturan politik pada hujung Februari sebelumnya, yang dikenali sebagai episod Langkah Sheraton. – 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen