Pemimpin Warisan akan ke SPRM esok, kata peguam


Jason Santos

Peguam kepada Peter Anthony, Martin Tommy pada sidang media Warisan yang diadakan di Kota Kinabalu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Januari, 2018.

PETER Anthony dijangka akan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 2.30 petang esok, kata peguamnya Martin Tommy.

Beliau berkata berita SPRM memberi tempoh 48 jam kepada naib presiden Warisan dan peguam Michael Ubu untuk menyerah diri berhubung dakwaan pecah amanah mengejutkan Anthony.

Katanya, Anthony tidak pernah meninggalkan Sabah, dan SPRM tidak pernah menghubungi Anthony atau dirinya sebelum mengeluarkan notis itu. 

“Anthony memang berada di Sabah selama ini dan tidak pernah melanggar syarat jaminan. 

“Beliau tidak sihat dan kini sedang berehat dengan keluarganya di Tenom atau Keningau. 

“Sebagaimana yang kami maklum, Ubu merupakan peguam yang dilantik Risda untuk membantu dalam pembelian tanah. Namun Ubu tidak dapat dikesan. 

“Walaubagaimanapun, Anthony dan Ubu tiada sebarang kaitan.

“SPRM menguruskan kes ini secara tidak profesional,” kata peguam itu pada sidang media Warisan di Kota Kinabalau hari ini. 

Turut hadir, naib presiden Warisan Junz Wong, ketua Pemuda Aziz Jamman dan timbalan ketua Pemuda Nicholas Chak. 

Kenyataan yang dikeluarkan agensi pencegah rasuah itu semalam meminta Anthony dan Ubu menyerah diri di pejabat SPRM, di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu, dalam tempoh 48 jam berhubung dakwaan pecah amanah membabitkan RM15  juta. 

RM15 juta itu merupakan deposit 10% untuk pembelian tanah ladang kelapa sawit di Tongod, yang dijual pada harga RM155 juta. 

Tommy berkata, jumlah itu dibayar menerusi firma guaman Ubu, yang menguruskan jual beli berkenaan bagi pihak Risda beberapa tahun lalu. 

Risda merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dan urusan itu dipercayai dibuat ketika presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menjadi menterinya, antara 2009 dan 2015.

“Sesuatu berlaku dalam urusniaga tanah itu, dan peguam sepatutnya memulangkan bayaran kepada Risda, mungkin pembelian itu gagal,” kata Tommy. 

“Tidak mungkin Shafie terlibat, kerana biasanya apabila membabitkan tanah adat, jika pemilik enggan menjualnya, menteri akan membatalkan pembelian itu.” – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen