EKONOMI Vietnam terus berkembang dalam tiga bulan pertama tahun ini, kata para pegawai pada Isnin, berkat kejayaan kerajaan mengekang Covid-19.
Sementara kadar 4.48 peratus yang diberikan oleh Pejabat Statistik berada di bawah ramalan dalam tinjauan Bloomberg, ianya lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu malah kerajaan berkata ia berharap dapat meningkatkan pertumbuhan tahunan 6.5 peratus untuk 2021.
Vietnam telah lama menjadi salah satu negara dengan prestasi ekonomi terbaik di Asia dan merupakan salah satu di dunia yang berkembang tahun lalu kerana langkah-langkah pandemik yang ketat termasuk penjejakan kontak besar-besaran dan kuarantin wajib.
Setakat ini Vietnam hanya mencatatkan sekitar 2,600 jangkitan dan 35 kematian dalam populasi berjumlah 98 juta.
Hasil kajian menunjukkan Vietnam “telah merealisasikan secara efektif objektif berganda memerangi pandemik sambil mengembangkan ekonominya”, kata pejabat statistik dalam satu kenyataan, menambah sasaran 6.5 peratus adalah “cabaran besar bagi kerajaan dan rakyat”.
Pejabat itu berkata bagi mengekalkan sasaran, Vietnam perlu mempercepat usaha vaksinasi, menyediakan pakej sokongan perniagaan dan mempercepat projek pelaburan awam.
Setakat ini, Vietnam telah memvaksinasi lebih 45,000 rakyat, kebanyakannya pekerja perubatan dan barisan hadapan menggunakan vaksin AstraZeneca.
Kementerian kesihatan negara itu berkata vaksin pertama yang dikembangkan Vietnam akan siap untuk digunakan tahun depan. – AFP, 29 Mac, 2021.
Komen