MASALAH pengangkutan menjadi cabaran utama di pedalaman Sarawak, mungkin menjadi penghalang untuk negeri itu mencapai misinya memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 2.2 juta penduduk menjelang Ogos.
Di Murum, kawasan di hulu Sungai Rajang berhampiran empangan hidroelektrik, penduduk sukar untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan.
Mereka tidak dapat mendaftar aplikasi MySejahtera kerana tiada perkhidmatan Internet di kawasan itu. Ini bermakna, proses pendaftaran terpaksa dilakukan secara manual.
Perlu mengisi borang dan kemudian dikumpul oleh ketua kampung atau pegawai kesihatan dan dihantar ke klinik kesihatan berhampiran atau pejabat daerah.
Ia proses yang perlahan tetapi tetap berjalan, kata Abun Sui Anyit daripada PKR, yang mungkin bertanding di Murum pada pilihan raya negeri akan datang.
“Mendapatkan pengangkutan untuk dari satu rumah panjang ke rumah panjang lain atau ke pejabat daerah atau klinik, sangat susah. Kosnya mahal,” kata Abun yang juga peguam berpangkalan di Miri.
Tugas itu memerlukan kenderaan pacuan empat roda, dengan kos yang tinggi.
Cabaran seumpama itu juga menjadi punca utama banyak kelahiran dan kematian tidak dilaporkan di kawasan ini.

Abun berkata beliau faham hanya 40% daripada 7,000 penduduk Murum yang layak mendapat imunisasi, yang berdaftar.
Ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan juga antara cabaran lain dalam kalangan penduduk.
Abun berkata kebanyakan penduduk bukannya anti vaksin tetapi mereka hanya ingin tahu suntikan apa yang akan mereka ambil.
“Kurang maklumat diterima di sini. Mereka juga mahu tahu sama ada, mereka diberikan jaminan keselamatan atau tidak. Mereka bimbang dengan kesan sampingan vaksin itu.”
Mungkin penduduk lebih rasa terjamin sekarang apabila kerajaan persekutuan menyediakan ganti rugi dan dana kesihatan jika penerima vaksin mengalami kesan sampingan yang buruk, katanya.
Namun, proses pendaftaran di kawasan bandar di Sarawak agak berbeza.
Adun Bukit Assek Irene Chang berkata data dari pejabat penduduk Sibu menunjukkan 81% daripada populasi sasaran sudah mendaftar untuk imunisasi.
“Saya dimaklumkan pendaftaran di Sibu paling tinggi dalam kalangan kawasan bandar,” katanya.
Ditanya sama ada wujud kempen bantahan imunisasi, Chang berkata beliau percaya secara umumnya, ramai mengambil sikap tunggu dan lihat.
Tetapi selepas Chang menerima suntikan vaksin itu, semakin ramai penduduk di kawasannya mula mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
Chang berkata ramai penduduk bertanya bagaimana keadaannya selepas menerima dos vaksin.
“Ada yang mahu tahu bagaimana mereka boleh mendaftar selepas bertanya soalan kepada saya.”
Masalahnya ialah, Chang berkata kebanyakan penduduk Cina bertegas mahukan vaksin CoronaVac, iaitu buatan China, Sinovac.
Mereka mahu menunggu untuk vaksin itu boleh diperoleh di Malaysia, barulah mereka akan mendapatkan suntikan, katanya.
Kerajaan tidak membenarkan penerima suntikan memilih jenis vaksin. – 29 Mac, 2021.
Komen