Vaksin Covid-19 pertama tiba di Kosovo


Kosovo dengan populasi 1.8 juta penduduk terjejas teruk oleh wabak yang menyebabkan sistem kesihatannya hampir lumpuh. Negara ini sudah mencatatkan hampir 90,000 jangkitan dan lebih daripada 1,800 kematian. – Gambar EPA, 29 Mac, 2021.

KOSOVO menerima penghantaran pertama Covid-19 semalam melalui skim Covax yang disokong oleh PBB untuk membantu negara-negara miskin.

Sebanyak 24,000 dos vaksin AstraZeneca dihantar kerana Kosovo seperti negara-negara jirannya di Balkan berdepan peningkatan jumlah jangkitan koronavirus yang ketara.

“Negara kita kecil dan miskin, jadi kita memerlukan sokongan dan solidariti yang kuat terutama daripada AS dan EU dalam memerangi wabak itu.

“Ini adala kontinjen kecil tetapi memberikan harapan besar untuk permulaan menyelamatkan nyawa orang ramai,” kata Perdana Menteri Albin Kurti kepada wartawan di Lapangan Terbang Pristina.

Selain Kurtin dan pegawai Kosovo lain, diplomat Barat dan PBB di negara berkenaan juga menghadiri majlis penyerahan vaksin yang disiarkan secara langsung oleh saluran televisyen utama.

Program vaksinasi akan bermula minggu ini dengan golongan terawal menerima vaksin adalah petugas kesihatan, rakyat dengan sejarah penyakit kronik dan warga emas, kata Menteri Kesihatan Arben Vitia.

Kerajaan merancang lebih awal untuk menyuntik 60 peratus penduduk pada akhir tahun ini.

Penghantaaran semalam adalah sebahagian daripada lebih 100,000 dos yang diminta oleh Pristina dari Covax tahun lalu.

Kosovo dengan populasi 1.8 juta penduduk terjejas teruk oleh wabak yang menyebabkan sistem kesihatannya hampir lumpuh.

Negara ini sudah mencatatkan hampir 90,000 jangkitan dan lebih daripada 1,800 kematian.

Klinik untuk penyakit berjangkit di ibu kota Pristina, institusi perubatan utama yang menangani wabak ini tidak menerima pesakit baharu untuk rawatan hospital sejak beberapa hari terakhir kerana kekurangan katil.

Pada awal Ahad, kumpulan pertama 24,000 dos jab AstraZeneca dihantar ke Macedonia Utara.

Skim perkongsian vaksin global Covax dilaksanakan bagi memastikan 92 negara termiskin di dunia dapat mengakses vaksin dengan pembiayaan yang ditanggung oleh penderma.

Inisiatif ini diharapkan dapat memberikan sekitar 238 juta dos di seluruh dunia pada akhir Mei dan telah menghantar lebih 31 juta dos.

Skim ini dipimpin bersama oleh pakatan vaksin Gavi, WHO dan Gabungan Bagi Inovasi Persediaan Epidemik. – AFP, 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen