Lantik juraudit forensik dalam Felda, kata kumpulan anti rasuah


Low Han Shaun

Felda sebelum ini menjadi tumpuan berikutan beberapa dakwaan amalan rasuah dan penyelewengan, daripada pembelian hotel di London hingga kepada yang terbaharu berhubung pembelian tanah di Jalan Semarak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2018.

JURUAUDIT forensik perlu dilantik untuk mengaudit kedua-dua Felda dan anak syarikatnya untuk memastikan sekiranya terdapat sebarang penyelewengan dalam agensi persekutuan itu, kata kumpulan anti-rasuah. 

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar berkata, entiti korporat tanpa pengurusan dan tadbir urus yang baik tidak akan bertahan dalam tempoh masa yang lama.

“TI-M merasakan kerajaan persekutuan perlu melantik juruaudit forensik untuk menjalankan audit forensik penuh terhadap kedua-dua Felda dan anak syarikatnya. 

“Ini bagi memastikan sekiranya didapati berlaku amalan penyelewengan, tindakan punitif boleh diambil terhadap pegawai yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan. 

Felda sebelum ini menjadi tumpuan berikutan beberapa dakwaan amalan rasuah dan penyelewengan, daripada pembelian hotel di London hingga kepada yang terbaharu berhubung pembelian tanah di Jalan Semarak. 

Felda merupakan sebuah agensi kerajaan yang dibiaya oleh pembayar cukai serta titik peluh peneroka, justeru ia perlu diuruskan dengan baik, kata Akhbar. 

Tambahnya, memandangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terlibat secara langsung kepada parti politik, ia merupakan ancaman terbesar kepada kestabilan kewangan negara. 

“Terdapat juga tuduhan dan kecurigaan terhadap pilih kasih, kronisme dan rasuah yang meluas dalam entiti korporat.”

Memberikan pengambilan pekerja sebagai contoh, Akhbar berkata mereka perlu mengambil pekerja berpengalaman untuk tujuan rangkaian dan bukan kroni politik. – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • SPRM akan menyelesaikan siasatan pembelian hotel oleh Felda Investment Corp (FIC) dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dalam masa terdekat. Isu felda tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan politik, tunggu sahaja siasatan selesai.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan