PUTRAJAYA akan menggunakan ujian menggunakan air liur (deep throat saliva) untuk Covid-19 selepas kajian mengenai kaedah pensampelan selesai, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
“Penyelidikan dan penilaian sedang dilakukan di 11 pusat ujian. Kami masih menunggu laporan lengkap,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kami akan melaksanakan ia sepenuhnya selepas penyelidikan diselesaikan dengan laporan lengkap dari 11 pusat ujian.”
Bulan lalu dilaporkan kaedah persampelan air liur mendapat persetujuan Kementerian Kesihatan, tetapi Adham berkata percubaan masih dilakukan.
Pihak berkuasa kesihatan Malaysia kini menggunakan calitan nasofarinks dan orofaring, yang diambil melalui hidung dan mulut sebagai sampel bagi ujian Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada 4 Mac, tujuh hospital dikenal pasti melakukan penilaian lapangan mengenai kaedah pengambilan air liur.
Kaedah ini membolehkan orang ramai mengumpulkan sampel kahak mereka sendiri dengan mengeluarkan air liur dengan meludah ke dalam botol spesimen.
Kaedah ini dikenal pasti sesuai untuk ujian ‘Real-Time Reverse Transcriptase-PCR’ (RT-PCR) Covid-19.
Ini juga dikatakan dapat menjimatkan penggunaan peralatan pelindung diri (PPE) yang dipakai oleh petugas penjagaan kesihatan yang menjalankan ujian Covid-19.
Kaedah ujian kini digunakan di Hong Kong dan Taiwan.
Bulan lalu, My EG Services Bhd (MyEG) dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata akan memperkenalkan ujian Covid-19 ini mulai Mac.
MyEG berkata sampel air liur boleh diambil dari rumah dan tempat kerja untuk diproses di makmal di bawah BP Healthcare.
Menurut MyEG, ujian itu berharga RM150, tidak termasuk kos penghantaran. – 27 Mac, 2021.
Komen