Selangor dahului kes harian tertinggi Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Malaysia melaporkan 1,275 jangkitan baharu Covid-19 hari ini dengan Selangor sekali lagi mendahului jumlah kes harian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2021.

MALAYSIA melaporkan 1,275 jangkitan baharu Covid-19 hari ini dengan Selangor sekali lagi mendahului jumlah kes harian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa kes-kes baharu menjadikan jumlah jangkitan di negara sebanyak 339,443 di mana 14,269 kes sedang aktif.

Selangor mendahului jumlah harian dengan 478 kes diikuti oleh Sarawak dan Pulau Pinang masing-masing dengan 213 dan 137 kes.

Dr Noor Hisham berkata hanya 32 kes hari ini merupakan kes import sementara sebanyak 1,243 adalah jangkitan tempatan.

Jumlah kes pulih Covid-19 terus melebihi kes baharu dengan seramai 1,509 pesakit sembuh dari koronavirus.

Dengan ini jumlah pesakit pulih dari Covid-19 kini berjumlah 323,925.

Negara juga mencatatkan satu kematian menjadikan jumlah kematian nasional seramai 1,249 orang.

Sementara itu, daripada jumlah kes aktif, seramai 161 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi manakala 70 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – Bernama, 26 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen