UMNO menuntut penjelasan kerajaan mengenai tindakan menangani peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di sekolah selepas sesi pembelajaran bersemuka dibenarkan semula.
Malah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih belum menyampaikan sebarang perutusan mengenai perkembangan membimbangkan itu, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Sedangkan, kes itu kini amat membimbangkan warga sekolah, kata Zahid dalam satu kenyataan disiarkan lidah rasmi Umno.
“Belum ada sidang khas oleh pihak berwajib bagi memperjelaskan tentang perkembangan yang agak membimbangkan kepada umum berhubung penularan Covid-19 di beberapa sekolah.
“(Pelajar, guru dan pelajar) perlu tahu adakah SOP (prosedur operasi standard) sedia ada di sekolah masih mencukupi untuk mencegah jangkitan Covid-19 atau memerlukan penambahbaikan?”
Kes di sekolah meningkat mendadak dengan 41 kluster yang dikesan sepanjang tiga bulan lalu selepas sesi persekolahan bersemuka dimulakan semula.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, tiga kluster baharu dikesan di pusat pengajian yang menyumbang kepada pembentukan 32 kes.
Zahid berkata, perkara itu membimbangkan kerana kanak-kanak dan pelajar sekolah dalam kategori berisiko dijangkiti Covid-19.
“Oleh itu, mereka mahu tahu sama ada jangkitan Covid-19 yang berlaku di dua sekolah itu dari dalam atau luar sekolah?
“Mereka khuatir perkara sama boleh berlaku di sekolah anak mereka. Paling menggusarkan tentang keselamatan Murid Berkeperluan Khas (MBK).
“Mereka sedia maklum kanak-kanak dikategorikan sebagai berisiko. Sebab itu pasar malam pun tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Beliau antara lain membangkitkan kes melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, Tampoi di Johor yang dilapor ditutup sehingga 25 Mac.
Selain itu, SK Bukit Jenun di Kedah pula ditutup bermula Jumaat lalu ekoran jangkitan dari seorang guru. – 26 Mac, 2021.
Komen