PERNIAGAAN kecil menjadi mangsa penipuan, terutamanya berkaitan pembelian sarung tangan dan pelitup muka yang tidak wujud ketika pandemik Covid-19, kata biro aduan parti politik.
Mangsa mengadu kepada biro bagi mendapatkan pertolongan selepas ditipu duit yang sudah sedia terjejas disebabkan perniagaan yang teruk ketika perintah sekatan dilaksanakan bagi mengekang penularan virus.
Kata biro, sarung tangan dan pelitup muka adalah barangan popular ketika wabak virus melanda seluruh dunia dan perniagaan kecil membuat pembelian serta penjualan barangan ini sebagai cara cepat dan mudah untuk mendapatkan keuntungan.
Namun, ia juga mendedahkan mereka kepada penipuan, kata Ketua Biro Pengaduan Awam Wilayah Persekutuan DAP, Yew Jia Haur dan Biro Pengaduan Awam Gerakan Selangor, Andy Lieng.
Terdapat cara lain penipu mengambil kesempatan terhadap peniaga yang terdesak, tetapi pelitup muka dan sarung tangan paling biasa berlaku baru-baru ini kerana barangan ini dianggap sebagai keperluan, kata mereka.
“Peniaga tidak memesan barangan tersebut daripada pengeluar, tetapi melalui orang tengah dan ejen,” kata Yew.
“Ejen akan berkata mereka tidak mempunyai stok tetapi berjanji akan mendapatkan barangan tersebut.
“Ejen juga mempunyai syarikat yang ditubuhkan di luar negara dengan kakitangan di Malaysia untuk tujuan pentadbiran, sehingga wang mangsa dipindahkan ke luar negara.”
Selepas penipuan selesai, apabila wang dibayar untuk barang yang tidak wujud, “ejen” membersihkan pejabat tempatan mereka dan tidak lagi dapat dikesan.
Bagi membina kepercayaan dengan pembeli, beberapa ejen akan menghantar tempahan kali pertama, kata Yew.
“Apabila perniaga membuat pesanan lebih besar untuk kali kedua dengan deposit yang besar, ketika itulah mereka melarikan diri dengan wang.”
Biro aduan itu sudah menerima aduan mengenai kerugian antara RM300,000 hingga RM8 juta.
“Pada tahun lalu, kami menerima 13 aduan kes penipuan yang melibatkan sarung tangan dan 20 yang melibatkan pelitup muka,” kata Yew.
Kebiasaannya perniaga diberitahu tentang “ejen” ini oleh kenalan dan menyangka ia perniagaan yang sah kerana hubungan yang boleh dipercayai.
“Memandangkan pandemik dan ekonomi yang teruk, perniaga berusaha untuk mendapatkan apa saja yang mereka dapat, termasuk membeli yang dengan harga murah dan menjualnya dengan harga tinggi. Penipu memanfaatkan ini, jadi peniaga harus lebih berhati-hati,” tambah Yew. – 27 Mac, 2021.
Berita penuh di sini
Komen