Brazil rekod 100,000 kes Covid-19 sehari


Sekurang-kurangnya 12.3 juta kes Covid-19 telah direkodkan di Brazil, dengan jumlah kematian lebih 300,000. – Gambar EPA, 26 Mac 2021.

LEBIH 100,000 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Brazil semalam, umum kementerian kesihatan negara itu.

Ini menjadikan sekurang-kurangnya 12.3 juta kes Covid-19 telah direkodkan di negara itu sehingga kini, dengan jumlah kematian lebih 300,000.

Brazil negara kedua paling teruk dilanda pandemik itu selepas Amerika Syarikat (AS).

Kes naik mendadak sejak Februari kerana kurang pematuhan kepada amalan pencegahan serta kemunculan varian baharu Covid-19 yang lebih mudah berjangkit.

Ini ditambah pula dengan proses pemberian suntikan vaksin yang perlahan.

Secara purata sebanyak 77,050 kes Covid-19 dilaporkan dalam sehari sejak seminggu lalu, dua kali ganda berbanding Januari.

Pada Selasa, buat pertama kali lebih 3,000 kes kematian dilaporkan dalam sehari. Brazil kini mencatat angka kematian harian tertinggi di dunia.

Presiden Jain Bolsonaro pada Rabu umum akan melancarkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani pandemik Covid-19 di negara itu.

Akhbar Folha de Sao Paulo menuduh Bolsonaro berbohong apabila berkata pentadbirannya bekerja tanpa henti dalam membendung jangkitan.

“Sepanjang 12 bulan, Bolsonaro meremehkan pandemik, menggalakkan perhimpunan ramai, membantah pemakaian pelitup muka dan menghentikan rundingan mendapatkan vaksin.”

Presiden itu semalam tetap berkata perintah berkurung akan menjejaskan ekonomi Brazil.

“Jika semuanya ditutup, siapa tahu apa akan jadi pada Brazil?” – AFP, 26 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen