MAJLIS Sumber Air Negara (MSAN) perlu masuk campur dan menghentikan perbalahan berkenaan bekalan air antara Pulau Pinang dan Kedah, kata Charles Santiago.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu berkata apa yang berlaku antara kedua-dua pihak pada masa ini, masih boleh diselesaikan.
“MSAN perlu campur tangan dan buat keputusan berkenaan perbalahan ini.
“Isunya ialah air Sungai Muda yang mengalir menerusi Kedah bukan milik negeri itu. Jadi, jika kedua-dua pihak mahu bercakap tentang tariff air atau isu lain, maka mereka perlu membangkitkannya kepada MSAN,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Santiago mengulas berkenaan desakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy untuk sebuah badan urusan air peringkat persekutuan menguruskan dan mengawal selia wilayah Ulu Muda untuk menghentikan perbalahan isu air antara Kedah dan Pulau Pinang.
Ramasamy berkata badan berkanun seperti itu sangat penting untuk menguruskan, memelihara dan mengawal selia bekalan air ke kedua-dua negeri itu dan Perlis.
MSAN dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Santiago berkata perdana menteri perlu campur tangan sebelum isu ini menjadi lebih buruk dan menjejaskan ekonomi kedua-dua negeri.
“Menteri besar Kedah mengugut keselamatan air negeri berjiran. Ia memberi kesan kepada perniagaan, kemampanan kesihatan dan ekonomi negeri itu.
“Sungai itu hanya mengalir menerusi negeri itu. Dan negeri itu perlu menghormati hak riparian, iaitu negeri berkenaan tidka boleh menghalang air mengalir ke kawasan bidang kuasa lain,” kata ahli Parlimen Klang daripada DAP itu.
Awam bulan ini, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata negeri itu mahu Pulau Pinang mempertimbangkan untuk membayar Kedah kerana menggunakan sumber airnya, sebanyak RM50 juta.
Sanusi berkata Pulau Pinang pada masa ini menggunakan 56% sumber air dari kawasan tadahan di Ulu Muda di Kedah dan tidak membayar langsung kepada kerajaan negeri Kedah.
Beliau baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk kawasan tadahan air tepi sungai untuk bekalan rizab Kedah, dan memberi amaran kepada Pulau Pinang, air Sungai Muda di bahagiannya mungkin akan kering.
Santiago bagaimanapun berkata isunya ialah Sungai Muda, yang menjadi sumber air Pulau Pinang, bukan milik Kedah.
“Sungai itu hanya mengalir menerusi negeri itu. Jika Kedah sekat air ke Pulau Pinang, maka apa yang akan terjadi?
“Apa yang berlaku ialah rompakan. Kedah mengenakan cukai terhadap air yang mengalir di negeri itu.”
Beliau berkata berkongsi sumber semula jadi perlu menjadi sebahagian daripada polisi negara.
Sementara itu, Presiden Forum Air Malaysia Saral James Maniam berkata mereka menyokong penuh pihak berkuasa berkanun air untuk menguruskan dan mengawal selia bekalan air ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
“Mereka perlu pihak yang neutral untuk mengawal selia isu ini. Lembaga berkanun persekutuan akan berada di sana untuk memastikan aliran air ke ketiga-tiga negeri berjalan lancar.
“Saya bersetuju Putrajaya patut campur tangan untuk memberikan penyelesaian terbaik untuk semua pihak. Air adalah hak asasi manusia dan ia sepatutnya bukan milik satu-satu negeri,” katanya. – 26 Mac, 2021.
Komen