SPR tangguh Undi18, daftar automatik kerana PKP


SPR tangguh pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik sehingga 1 September tahun depan, kata pengerusinya Abdul Ghani Salleh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2021.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan Undi18, merendahkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik sehingga 1 September tahun depan, kata Abdul Ghani Salleh.

Pengerusi SPR berkata persediaan ke arah pelaksanaan itu masih dijalankan tetapi terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Persiapan ke arah pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik masih dijalankan. Ini termasuk gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data.

“Bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara pada masa ini yang secara umumnya masih di bawah PKP.

“Ini secara langsung menjejaskan persiapan dan perancangan SPR.

“Oleh itu, pendaftar pemilih automatik dan Undi18 dijangka dilaksanakan selepas 1 September, 2022, selepas menilai semula semua kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan SPR dan persiapan awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Had minimum mengundi direndahkan kepada 18 daripada 21 tahun sebelum ini, selepas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai, 2019 dan diikuti dengan kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai, 2019. – 25 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen