Malaysia akan kembalikan sisa buangan plastik AS


Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata pihaknya akan menghantar semula sisa buangan plastik AS yang dijadualkan tiba ke Malaysia dari Los Angeles di bawah Konvensyen Basel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2021.

MALAYSIA akan mengembalikan bahan buangan plastik yang dihantar dari Amerika Syarikat di bawah undang-undang baharu Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi pengurusan sisa berbahaya, lapor Reuters. 

Laporan itu menyebut Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata ia berdasarkan undang-undang baharu yang berkuatkuasa pada Januari.

Jurucakap kementerian Mohamad Khalis Zaiyany Sumiran berkata penghantaran sudah menuju ke Malaysia dan ia tidak memenuhi kriteria perdagangan plastik atau mempunyai kelulusan untuk diimport ke Malaysia. 

“Malaysia akan menghantar semula kontena itu ke negara asal,” beliau dipetik sebagai berkata.

Dua tahun lalu, 180 negara termasuk Malaysia bersetuju untuk mengharamkan perdagangan bahan buangan plastik yang sukar dikitar semuladi bawah Konvensyen Basel dan bersetuju bahawa bahan buangan plastik hanya boleh diperdagangkan sekiranya memenuhi kriteria pencemaran rendah tertentu.

Ini bermakna bahan buangan mestilah bersih, diasingkan dan mudah dikitar semula  — atau jika negara pengeksport mendapat persetujuan terlebih dahulu dari negara pengimport.

Konvensyen berkenaan adalah cubaan untuk menghentikan negara kaya daripada membuang bahan buangan plastik di negara membangun. 

Namun tidak dapat dipastikan bila penghantaran yang berlepas dari pelabuhan di Los Angeles pada 14 Mac lalu, akan tiba ke negara ini. 

Walaupun Amerika Syarikat tidak meratifikasikan konvensyen itu dan tidak terikat dengan undang-undangnya, Malaysia di bawah perjanjian itu tidak boleh menerima bahan buangan plastik terlarang dari AS. – 25 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen