Harga makanan, bahan api dijangka kekal tinggi pada 2018


Sheridan Mahavera

Pakar ekonomi meramalkan inflasi atau kadar harga barangan meningkat antara 2.7% dan 3.5% tahun ini, berbanding purata 3.8% hingga 4% pada 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2018.

RAKYAT Malaysia nampaknya perlu terus mengikat perut pada 2018 memandangkan harga makanan dan petrol dijangka kekal tinggi meskipun berlaku penurunan harga pada 2017.

Ahli ekonomi dan penganalisis juga menjangkakan kurangnya peluang pekerjaan baru tetapi bagi yang masih bekerja akan menyaksikan upah meningkat sebanyak kira-kira 3%.

Pakar menjangkakan kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS pada 2018 menyebabkan penurunan harga import. Malaysia mengimport makanan bernilai RM38 bilion antara Januari dan Oktober pada 2016.

Tetapi kenaikan harga petrol pada akhir tahun ini juga dijangka berterusan hingga 2018 disebabkan peningkatan permintaan global dan kurangnya bekalan.

Mereka meramalkan inflasi atau kadar harga barangan antara 2.7% dan 3.5% tahun ini, berbanding purata 3.8% hingga 4% pada 2017.

Bagaimanapun, ahli ekonomi bebas Azrul Azwar Ahmad Tajuddin berkata ini tidak bermakna pengguna akan menyaksikan harga makanan yang lebih rendah pada 2018.

Inflasi utama (headline inflation) sangat bergantung kepada trend harga minyak global yang akan mempengaruhi harga minyak domestik, katanya.

“Prospek ringgit yang lebih kukuh dan beberapa pengurangan faktor kos global pada 2018 dapat menampung banyak tekanan inflasi, walaupun harga barangan makanan dan barang asas lain mungkin agak tinggi,” kata Azrul Azwar kepada The Malaysian Insight.

“Selepas purata pada hampir 4% pada 2017, inflasi utama dijangka sederhana, mencatat purata kurang 3.5% pada 2018.”

Dalam nota penyelidikan, Ambank Research berkata ringgit dijangka dinilai secara purata RM4.16 kepada AS$1 pada 2018 berbanding purata RM4.31 kepada AS$1 pada 2017.

Ambank Research berkata ia menjangkakan purata kadar inflasi antara 2.5% dan 3.0% pada 2018.

Harga minyak mungkin naik pada 2018 berikutan peningkatan permintaan daripada China, penurunan saham global dan pengeluaran rendah daripada pengeluar minyak utama. – Gambar fail EPA, 4 Januari, 2018.

RHB Research menjangkakan purata kadar inflasi pada 2.7% disebabkan oleh harga bahan api yang stabil dan ringgit lebih kukuh, yang akan menurunkan harga import.

Tahun lalu menyaksikan beberapa kadar inflasi tertinggi dengan purata kira-kira 4%. Pada November, harga makanan di lima negeri meningkat pada kadar lebih tinggi berbanding purata negara.

Harga minyak mungkin naik pada 2018 berikutan peningkatan permintaan daripada China, penurunan saham global dan pengeluaran rendah daripada pengeluar minyak utama, kata Azrul Azwar.

Walaupun faktor lain, seperti pengeluaran minyak syal AS, mungkin menyekat harga minyak dunia, beliau menjangkakan harga dunia minyak mentah Brent meningkat kepada AS$70 setong pada 2018.

Menurut Bloomberg, minyak Brent Crude kini didagangkan pada harga AS$66.68 setong.

Walaupun pengguna berdepan cabaran menguruskan kewangan pada 2018, firma perunding pengurusan global mengatakan purata gaji di Malaysia dijangka berkembang sebanyak 3.2%.

Pada 2017, gaji meningkat sebanyak 1.3%, kata Korn Ferry Hay Group (Korn Ferry), menurut beberapa laporan.

Pekerjaan dalam sektor hartanah, pembinaan dan kewangan akan menyaksikan kenaikan paling tinggi.

Mereka yang berada dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, produk perindustrian dan minyak dan gas, akan melihat pertumbuhan upah paling rendah. – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen