PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mesti menjelaskan mengenai dakwaan bayaran komisen daripada penyelesaian antara kerajaan dan Goldman Sachs dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Tony Pua.
Ahli Parlimen Damansara itu menambah, Muhyiddin perlu berhenti membisu bagi menghilangkan keraguan dan persoalan mengenai ketelusan penyelesaian tersebut.
“Walaupun kerajaan mungkin telah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) yang tidak perlu dengan Goldman Sachs bagi penyelesaian tersebut, bayaran guaman oleh 1MDB tidak termaktub di bawah NDA dan boleh didedahkan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu lagi, kegagalan Muhyiddin berbuat demikian hanya akan mencalar reputasinya, seperti yang berlaku kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
“Tiada ironi yang lebih besar jika dana yang diambil semula dengan susah payah daripada Goldman Sachs, proses yang bermula ketika pentadbiran Pakatan Harapan untuk membayar hutang besar 1MDB, yang berpunca daripada kleptokrasi Najib, kini disalurkan untuk memberi manfaat kepada kepentingan politik Muhyiddin dan Bersatu,” katanya.
Pua mengulas dakwaan bahawa melantik ejen untuk mengambil komisen daripada penyelesaian itu untuk dana Pilihan Raya Umum ke-15.
Ahli Parlimen Kuang Sallehudin Amiruddin baru-baru ini dilaporkan membuat laporan polis, mendakwa komisen RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi untuk membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.
Susulan itu, peguam terkemuka Rosli Dahlan membuat laporan polis terhadap Sallehudi, bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Adam dan penulis blog Mohd Hanizam Yunus kerana menuduh beliau menerima wang sogokan berbilion ringgit dari Goldman Sachs dalam menyelesaikan skandal 1MDB.
Laman web Sarawak Report memetik sumber juga melaporkan peguam yang dilantik kerajaan menerima 5% daripada penyelesaian dengan Goldman Sachs sebagai bayaran komisen.
Dakwaan itu dinafikan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas dan bertujuan untuk mencemar imej Muhyiddin yang juga presiden parti.
Pua berkata kini timbul keraguan bahawa penyelesaian itu tidaklah setelus seperti yang digambarkan.
“Peguam-peguam yang terlibat didakwa menerima bayaran lumayan, sebahagiannya didakwa dibayar kepada Bersatu.”
Tambah beliau, meski mendapat kritikan pembangkan dan kumpulan masyarakat sivil, kerajaan masih enggan mendedahkan syarat-syarat penyelesaian dengan Goldman Sachs, yang dianggap tidak memuaskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata penyelesaian itu terikat dengan klausa kerahsiaan. – 25 Mac, 2021.
Komen