MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari mahu usaha menggalakkan masyarakat di negeri itu mendaftar bagi pengambilan vaksin Covid-19 diperhebat, khususnya dalam kalangan warga asing.
Amirudin berkata untuk itu, beliau akan bermesyuarat dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin esok.
“Di Selangor kita ada 6.4 juta rakyat dan kira-kira 1 juta warga asing, namun (warga asing) yang berdaftar hanya 400,000 orang sahaja.
“Pendaftaran mereka ini sangat perlu, semua pihak tidak kira (siapa) harus didaftarkan untuk mendapat giliran mengambil vaksin,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya setakat ini kira-kira 1.84 juta rakyat di Selangor telah mendaftar untuk pengambilan vaksin berkenaan.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari lepas menyasarkan untuk memberi vaksin Covid-19 kepada 80 peratus penduduk di negara ini menjelang awal tahun depan.
Dalam isu berasingan, Amirudin berkata untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pihak berkuasa berjaya mengelakkan sembilan potensi pencemaran yang mungkin menyebabkan henti tugas di loji-loji rawatan air negeri itu.
“Kita juga menyedari bahawa masalah (pencemaran sungai) ini berterusan, bukan hanya daripada kilang yang tidak berdaftar dan tidak sah, ada juga daripada kilang yang sah, dan ada juga disebabkan kelemahan sistem kumbahan kita, ada juga disebabkan daripada kecuaian ataupun tindakan yang sengaja,” katanya. – Bernama, 24 Mac, 2021.
Komen