SEBANYAK empat kluster baharu Covid-19 dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh 24 jam terakhir dengan dua berkaitan dengan tempat kerja, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata kumpulan berisiko tinggi dan kluster komuniti melengkapkan senarai kluster yang baru dikesan.
Sebanyak 148 kes dilaporkan dari empat kluster ini.
Dr Noor Hisham berkata kluster komuniti yang dikesan di Sarawak dikenali sebagai Chupak melaporkan paling banyak kes dengan 57 orang positif Covid-19.
Kedua-dua kluster tempat kerja tersebut melaporkan 75 kes.
Kluster Industri Permata Dua dikesan di tiga kilang di Kawasan Perindustrian Arab Malaysian, Nilai, Negeri Sembilan. Sebanyak 51 kes dilaporkan di sini.
Kluster tempat kerja kedua ialah Jalan Wawasan Dua yang dikesan di sebuah kilang di Batu Pahat, Johor di mana 24 kes dilaporkan.
Dr Noor Hisham berkata kluster berisiko tinggi Jalan Alam dilaporkan di Selangor yang merebak di daerah Kuala Langat, Klang dan Petaling.
Kluster ini melibatkan pusat perubatan dan setakat ini sebanyak 16 kes dikesan.
Beliau berkata keempat-empat kluster baharu ini menjadikan jumlah kluster di negara ini sebanyak 1,314 dengan 395 masih aktif dan 56 melaporkan kes baharu.
Di antara kluster aktif yang melaporkan kes tinggi adalah tapak pembinaan Persiaran Sunsuria dengan 52 kes diikuti Permata Dua Industri (51 kes) dan Technology Lot Enam (48 kes).
Dr Noor Hisham berkata lapan kluster ditamatkan hari ini menjadikan jumlah kluster sebanyak 919. – 24 Mac, 2021.
Komen