JUMLAH kes aktif Covid-19 meningkat dan menghampiri angka 15,000 apabila Malaysia melaporkan 1,268 jangkitan baharu melebihi 1,093 kes pulih dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes aktif kini berjumlah 14,637 selepas negara melaporkan lebih banyak jangkitan baharu dari kes pulih selama empat hari berturut-turut.
Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, lima merupakan kes import sementara selebihnya adalah jangkitan tempatan.
Selangor sekali lagi menyumbang sebahagian besar kes baharu dengan 490 jangkitan dilaporkan di negeri ini.
Ini diikuti oleh Sarawak dengan 141 kes dan Johor dengan 135 kes.
Perlis satu-satunya negeri yang melaporkan sifar kes hari ini.
Kes-kes yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan dicatatkan negara sebanyak 336,808.
Seramai 161 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sementara 73 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham juga berkata dua kematian dilaporkan hari ini, kedua-duanya di Selangor melibatkan penduduk tempatan.
Kedua-duanya adalah lelaki berusia 43 dan 77 yang mempunyai sejarah sakit kronik.
Angka kematian di negara ini kini berjumlah 1,246. – 24 Mac, 2021.

Komen