TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara tiba di tanah air minggu lalu selepas ke New Zealand untuk melawat keluarganya, menurut seorang pegawainya.
“Ya beliau pulang minggu lalu. Pada masa ini beliau menjalani kuarantin kendiri di rumah hingga 29 Mac dan sepanjang tempoh ini, beliau akan menjalankan tugasnya secara atas talian.
“Selepas kuarantin, beliau akan mengadakan mesyuarat secara fizikal,” kata setiausaha sulit Santhara, Muhammad Effi Arpan kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.
Laman web Sarawak Report sebelum ini melaporkan Edmund berada di Auckland sejak Disember.
Menurut laporan itu, beliau menerima gajinya sebagai ahli Parlimen Segamat sepanjang berada di New Zealand, sementara kakitangannya menjalankan tugas di kawasannya.
Bekas perdana menteri Najib Razak dan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran mempersoalkan keberadaan Santhara.
Santhara kemudian menjawab mempertahankan dirinya dan berkata beliau mendapat kebenaran untuk bercuti selama 55 hari termasuk cuti tanpa gaji, untuk melawat keluarganya di New Zealand.
Katanya, beliau membuat permohonan menerusi Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa ada 3 Disember dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meluluskannya pada 18 Disember.
Ketiadaan Santhara dikritik terutama ketika penduduk di kawasannya berdepan masalah banjir pada Disember, dan dengan sekatan perjalanan Covid-19 yang menyebabkan rakyat tidak dibenarkan melawat sanak saudara. – 24 Mac, 2021.
Komen