Labuan catat kadar kebolehjangkitan tertinggi


Setakat semalam, kes baharu positif Covid-19 dilaporkan masih pada empat angka dengan 1,384 kes, selain enam kematian direkodkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2021.

KADAR kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian untuk seluruh negara setakat semalam kekal 0.98 dengan Labuan mencatat Rt tertinggi pada 1.82.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi infografik yang dikongsikan di akaun Twitter, berkata Pahang merekodkan nilai Rt kedua tertinggi iaitu 1.31, diikuti Melaka (1.24), Kedah (1.16), Kelantan (1.11) dan Pulau Pinang (1.03).

Negeri yang mencatat bacaan bawah 1.0 ialah Sarawak (0.98), Kuala Lumpur (0.94),  Terengganu dan Selangor masing-masing 0.91, Sabah (0.87), Johor (0.85), Perak (0.78) dan Negeri Sembilan (0.67).

Semalam, kes baharu positif Covid-19 dilaporkan masih pada empat angka dengan 1,384 kes, selain enam kematian direkodkan.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Noor Hisham berkata pandemik Covid-19 merupakan antara krisis kesihatan terbesar dalam sejarah semasa manusia.

“Pelbagai garis panduan kesihatan awam serta prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan. Namun, paling penting ialah mematuhi semua langkah dan SOP tersebut,” katanya. – Bernama, 24 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen