MENTERI Wilayah Persekutuan Annuar Musa telah membayar denda kerana melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) bulan lalu, kata pembantunya kepada The Malaysian Insight.
“Ya, sudah bayar,” kata setiausaha akhbarnya, Tun Faisal Ismail Aziz ketika diminta untuk mengesahkan laporan menteri itu telah membayar denda.
Dikatakan pembayaran itu dibuat pada 26 Februari lalu.
Annuar, yang juga ahli Parlimen Ketereh dari Umno, dipanggil oleh polis kerana didakwa melanggar peraturan PKP setelah gambar beliau duduk semeja dengan enam orang lain semasa satu majlis di Cheras pada 13 Februari diedarkan di media sosial.
Pada 17 Februari, ketua polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata kertas siasatan kes Annuar harus dirujuk ke Pejabat Peguam Negara terlebih dahulu sebelum saman atau kompaun dapat dikeluarkan kepada menteri Perikatan Nasional itu.
Di bawah peraturan PKP bulan lalu, makan di kedai makan dibenarkan dengan hanya dua orang semeja.
Annuar juga didakwa melanggar SOP dalam foto lain yang menunjukkan beliau berjalan dengan dua orang lain tanpa memakai pelitup muka.
Pada masa itu, peraturan tersebut hanya membenarkan senaman di luar bersama ahli rumah sahaja.
Persepsi mengenai pilih kasih meningkat dalam pelbagai jenis PKP sepanjang tahun lalu.
Ahli Parlimen pembangkang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini mempersoalkan mengapa tidak ada tindakan yang diambil terhadap Annuar. – 23 Mac, 2021.
Komen