PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills di Bintulu, Sarawak ditamatkan hari ini, dua hari lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan PKPD di lokaliti itu yang sepatutnya tamat pada 18 Mac, dilanjutkan selama seminggu sehingga 25 Mac.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko Covid-19, selain baki kes positif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan dan kluster juga adalah terkawal dengan kes terakhir dilaporkan adalah pada 18 Mac lepas.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 1,407 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif 85 kes direkodkan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.
Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, beliau berkata 38 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, dengan 30 daripadanya dikompaun manakala lapan direman. – Bernama, 23 Mac, 2021.
Komen