RUSIA dan China pada Selasa menolak tuduhan mereka menggunakan vaksin Covid-19 untuk menunjukkan pengaruhnya di seluruh dunia.
Bercakap kepada pemberita selepas perbincangan dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, Menteri Luar Negeri Rusia, Sergei Lavrov menegaskan kedua-dua negara itu dipandu prinsip “kemanusiaan” dan bukannya kepentingan geopolitik.
“Rusia dan China telah menjadi model keterbukaan, kerjasama, dan saling membantu,” kata Lavrov di Guilin, China, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kementeriannya.
Mengenai cara menangani pandemik Covid-19, katanya, penting ianya dipandu oleh sifat “kemanusiaan dan kepentingan menyelamatkan nyawa” dan bukan “pertimbangan geopolitik dan pendekatan komersial”.
“Semua orang, termasuk rakan Barat kita, yang berusaha menjadikan Rusia dan China kelihatan seperti semacam oportunis dalam bidang yang disebut ‘diplomasi vaksin’ perlu ingat,” tambah Lavrov.
“Ini benar-benar jauh dari kenyataan.”
Wang berkata salah menyifatkan China “bersekongkol untuk melakukan diplomasi vaksin”, menuduh beberapa negara “membeli secara banyak vaksin”.
“Tujuan kami dari awal adalah untuk membiarkan lebih ramai orang menerima vaksin secepat mungkin,” katanya.
“Bagi China dan Rusia, pilihan kami bukan untuk menguntungkan diri kita sendiri, melainkan untuk menolong seluruh dunia.”
China, tempat asal Covid-19, telah menyediakan vaksin di beberapa negara, ada yang diberikan secara percuma.
Rusia dengan bangga mengedarkan vaksin Sputnik V, yang dinamakan sempena satelit pertama dilancarkan Kesatuan Soviet.
Pengkritik di Barat menuduh dua kuasa besar itu menggunakan vaksin bagi memperluas pengaruh global mereka, sementara Moscow dan Beijing berkata negara-negara Barat membeli dan menimbun vaksin yang sering kali merugikan negara-negara miskin. – AFP, 23 Mac, 2021.
Komen