Kerajaan Yaman digesa adakan darurat kesihatan


PBB telah memperingkatkan pandemik Covid-19 akan memburukkan lagi Yaman yang sedia dilanda kebuluran. – Gambar AFP, 23 Mac, 2021.

JAWATANKUASA Covid-19 Yaman mendesak kerajaan pada Selasa untuk mengisytiharkan “darurat” kesihatan setelah peningkatan jangkitan di negara yang dilanda perang itu.

Enam tahun perang saudara menjadikan sistem kesihatan Yaman lemah, malah minggu ini negara tersebut melaporkan lebih dari 100 kes dalam sehari, jauh lebih tinggi berbanding angka awal tahun ini.

Yaman secara rasmi telah mencatat sekitar 3,500 kes Covid-19 termasuk 771 kematian sejak wabak itu bermula.

Sebilangan besar klinik tidak lengkap untuk menentukan punca kematian, dan banyak yang takut jumlah sebenar jauh lebih tinggi.

Jawatankuasa Darurat Nasional Tertinggi untuk Coronavirus dikaitkan dengan kerajaan yang diakui pihak antarabangsa yang disokong Arab Saudi, yang telah memerangi pemberontak Huthi yang disokong Iran sejak 2014.

Jawatankuasa tersebut meminta kerajaan “mengisytiharkan keadaan darurat kesihatan di semua wilayah, menyiapkan pusat-pusat kesihatan dan hospital, dan menyediakan peralatan perlindungan diri kepada staf perubatan.”

Jawatankuasa itu meminta pelaksanaan “perintah pergerakan separa” dan penutupan dewan perkahwinan, pusat membeli-belah dan masjid di luar waktu solat.

Huthis, yang menguasai sebahagian besar wilayah utara termasuk ibu kota Sanaa, tidak melaporkan sebarang kes di kawasan di bawah kawalan mereka.

PBB telah memperingatkan pandemik Covid-19 dapat memperburukkan lagi keadaan yang sedia mengerikan di Yaman, yang telah dilanda kebuluran.

Puluhan ribu orang terbunuh dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dalam perang Yaman, yang disebut PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia. – AFP, 23 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen