UMNO akan menjadi parti politik pertama menyiarkan mesyuarat agung tahunannya secara dalam talian sepenuhnya dan boleh disaksikan oleh orang ramai ketika ia bersidang pada 27 dan 28 Mac.
Ini termasuk perbahasan ahli parti, yang sering mendapat perhatian media kerana retorik perkauman mereka.
Manakala, Bersatu dan MCA yang baru-baru ini turut mengadakan mesyuarat dan konvensyen mereka lebih senang menjalankan sesi perbahasan secara tertutup.
“Ucapan dan perbahasan dasar presiden, timbalan presiden dan semua ketua sayap akan disiarkan di Facebook secara langsung dan Umno Online,” kata pegawai media Umno Mohd Nasri Zakariah semasa taklimat media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
“Ini akan merangkumi ucapan perbahasan para perwakilan,” tambahnya.
Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) akan membincangkan politik, ekonomi, sosial, agama dan wabak Covid-19, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berasingan.
Ahmad yang tidak dapat menghadiri taklimat itu, berkata persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Mohamad Hasan pada 27 Mac.
“Presiden Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan dasar pada 28 Mac diikuti dengan debat para perwakilan,” kata Ahmad.
Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara sudah meluluskan pelan untuk PAU 2020.
“Disebabkan pelbagai SOP Covid-19, mesyuarat akan dijalankan dengan bilangan lebih kecil dengan separuh perwakilan menghadirinya secara fizikal sementara yang lain akan hadir dalam talian,” kata Nasri.
“Kakitangan media tidak akan dibenarkan masuk ke dewan acara utama tetapi boleh membuat liputan secara dalam talian dari bilik media,” tambahnya.
Tidak seperti PAU sebelumnya, tiada pemerhati atau bukan perwakilan di PWTC tahun ini.
Bagaimanapun, Nasri tidak dapat memberikan maklumat mengenai jumlah perwakilan yang akan menghadiri PAU 2020.
“Kami akan memberitahu media kemudian.”
Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan serentak pada 27 Mac sementara perwakilan utama akan mengadakan mesyuarat pada 27 Mac selepas ucapan dasar Zahid. – 23 Mac, 2021.
Komen