PENIAGA di Pasar Payang, pasar pelancongan terkenal di Kuala Terengganu, mendakwa perniagaan mereka terjejas dan menanggung kerugian sejak kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri untuk membendung penularan pandemik Covid-19.
Mereka kini merayu bantuan pihak berkuasa untuk terus bernafas mengharungi waktu sukar di tengah pandemik yang belum juga nampak reda.
Wan Mohd Hafizul Nik Anuar, 33, yang berniaga cenderamata berkata perniagaannya terkesan apabila begitu kurang pelancong dari luar Terengganu yang berkunjung ke pasar itu.
Keadaan itu memaksa beliau memberhentikan pekerja setelah menanggung kerugian yang banyak.
“Pasar Payang ini mengharapkan pelancong dari luar, sekarang ini pengunjung hanya orang Terengganu, jadi memang perniagaan kita sangat terjejas.
“Kesan itu bukan semata-mata sebab larangan rentas negeri sekarang tapi sejak sebelum ini… semasa perintah kawalan pergerakan pada Mac tahun lepas.
“Sebab tak mampu lagi nak tanggung kerugian dengan sewa kedai, kos nak beli barang, bayar pekerja, hutang lapuk jadi saya terpaksa memberhentikan pekerja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Luahnya lagi biarpun ada bantuan dari kerajaan pusat dan kerajaan negeri kepada peniaga kecil sepertinya namun ia masih tidak dapat menampung kerugian yang ditanggung.
“Sekarang ini kita peniaga walaupun ada bantuan dari kerajaan, tapi duit itu untuk bayar hutang- hutang lapuk…gaji pekerja nak kena bayar balik,” katanya.
Wan Mohd Hafizul memberi contoh berniaga di Pasar Payang di tengah pandemik Covid-19 sekarang, hendak dapat RM100 sehari pun susah.
“Dalam seminggu, tiga empat hari itu tak terjual langsung, cuma mengharapkan orang Terengganu, tapi mereka datang sini nak beli apa,” katanya yang sudah 15 tahun mewarisi perniagaan keluarganya di Pasar Payang.

Cukup makan
Seorang lagi peniaga rempah ratus di Pasar Payang Nur Ahmad, 32 berkata jika dulu hasil jualannya boleh mencecah sehingga RM1,000 sehari namun kini menyifatkan pendapatannya hanya sekadar ‘cukup-cukup makan’ saja.
Ujarnya biarpun kerajaan membenarkan rentas negeri untuk aktiviti pelancongan bagi negeri yang dikenakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) namun ia tidak begitu membantu.
“Kalau rentas negeri memang akan bertambahlah pengunjung di Pasar Payang cuma bila kerajaan umum kata boleh rentas negeri untuk pelancongan, kita ada hubungi Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Motac tapi mereka pun tak pasti macam mana nak laksanakan.
“Kalau ikutkan pengumuman, pegawai Motac akan beri kuasa pada agensi pelancongan tapi hanya satu agensi pelancongan saja yang uruskan.
“Memang betul menguntungkan pengangkutan logistik tapi macam kos melancong jadi tinggi… masih orang tak dapat nak datang juga,” katanya.
Nur berkata biarpun Pulau Redang kini sudah dibuka namun kesannya tidak dirasai peniaga, tidak seperti sebelum ini ketika mereka mampu meraih keuntungan berganda kerana pertambahan pelancong.
“Dulu bila Pulau Redang dibuka kesannya kita dapat sebab pengunjung akan lagi ramai, tambahan untuk ke Pulau Redang pelancong melalui jeti Shahbandar berdekatan saja dengan Pasar Payang.
“Feri pun dalam dua tiga kali sehari jadi bila pelancong keluar jeti, sama ada mereka tunggu bas, atau perjalanan pulang mereka akan datang ke Pasar Payang untuk beli cenderahati,” katanya, yang juga mengambil alih perniagaan keluarga di Pasar Payang sejak 10 tahun lalu.
Peniaga keperluan asas Mohd Syarafuddin Abdullah, 33, turut senada berkata hasil jualannya berkurangan dalam 30% hingga 40 % apabila tiada pelancong luar datang ke Pasar Payang.
Beliau berkata barang jualannya sampai melebihi tarikh luput kerana tiada pembeli.
“Saya jual barang- barang makanan asas, susu, gula, air kotak, tin tapi tak ada orang nak beli… sampai tarikh luput.
“Pasar Payang ini orang luar saja datang, kalau cuti sekolah memang pelancong serbu sini. Orang Terengganu sendiri tak datang pasar ini,” katanya.
Keadaan itu memaksanya mencari alternatif lain seperti menjual secara dalam talian dan membuat penghantaran di kawasan sekitar, tambah Syarafuddin.
“Kena buat sesuatulah. Kalau orang tak nak datang kitalah kena keluar, takkanlah kita nak berpeluk tubuh saja,” katanya.
Bagaimanapun beliau menyifatkan perniagaannya kembali bernafas apabila kerajaan membenarkan rentas daerah.
Terengganu merekodkan kehilangan setengah juta pelancong pada tahun lepas kesan daripada Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Ariffin Deraman berkata pengurangan itu dipengaruhi kemerosotan pengunjung dari Semenanjung serta negara luar.
Terengganu sebelum ini tamat PKP dan tukarkan status PKPP pada 2 Mac lepas.– 24 Mac, 2021.
Komen