Dapur jalanan gesa DBKL pastikan gelandangan terima suntikan vaksin


Noel Achariam

Usaha menyuntik gelandangan dengan vaksin Covid-19 dijangka berdepan masalah kerana sukar menjejaki mereka kerana kebanyakannya bertebaran di seluruh bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2021.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mencari jalan untuk memastikan gelandangan bandar diberi vaksin Covid-19, kata mereka yang menjalankan aktiviti dapur jalanan dan membantu gelandangan.

Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid berkata antara masalah yang dijangka dihadapi ketika memberi vaksinasi kepada gelandangan, adalah menjejaki mereka kerana kebanyakannya bertebaran di seluruh bandar.

Masalah lain adalah memastikan mereka mendapat kedua-dua dos vaksin, jika diberikan vaksin yang memerlukan dua suntikan.

“Gelandangan ada di seluruh bandar dan tidak akan mudah mengumpulkan mereka semua.

“Mungkin ada yang datang untuk suntikan vaksin pertama dan kemudian mungkin tidak muncul untuk suntikan kedua,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Usaha vaksinasi Covid-19 kebangsaan bermula pada 24 Februari yang bertujuan menyuntik sekurang-kurangnya 80% populasi Malaysia dalam tempoh setahun tetapi kerajaan kini berusaha untuk mencapainya pada akhir tahun ini.

Munirah mencadangkan agar gelandangan ditempatkan di tempat perlindungan sementara untuk memastikan mereka mendapat vaksin sepatutnya.

“Apa yang boleh dilakukan oleh DBKL adalah mengumpulkan gelandangan dan menempatkan mereka di tempat perlindungan sementara selama tempoh vaksinasi iaitu 21 hari.

“Ini akan memastikan semua gelandangan diberi vaksin. Kecuali, terdapat terdapat vaksin yang hanya memerlukan satu dos sahaja, tetapi itu belum ada.”

Dos kedua vaksin mesti diberikan selepas 21 hari, berdasarkan vaksin yang diperoleh Malaysia.

Menurut Kementerian Kesihatan pada 21 Mac, seramai 412,342 orang sudah menerima dos pertama, sementara 16,368 orang mengambil dos kedua.

Munirah menganggarkan terdapat sekitar 700 orang gelandangan di sekitar bandar.

Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid mencadangkan agar gelandangan ditempatkan di tempat perlindungan sementara untuk memastikan mereka mendapat vaksin lengkap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2021.

“Tiada pangkalan data tetap. Mereka mungkin berada di sini selama berbulan-bulan dan kemudian berpindah.

“Ada yang mendapat kerja atau balik kampung. Jadi, sukar untuk mengesannya.”

Pertiwi Soup Kitchen memberi makan kira-kira 500 orang setiap hari dalam dua sesi. 

Selain gelandangan, ada yang mempunyai rumah tetapi dianggap miskin bandar.

“Kami juga berharap agar DBKL dapat memberi tumpuan kepada golongan miskin bandar untuk program vaksinasi.

“Mereka ramai dan memerlukan bantuan,” kata Munirah.

Sementara itu, Pengarah Operasi Kechara Soup Kicthen, Justin Cheah berkata mereka sudah membangkitkan isu vaksinasi dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah.

“Terdapat pertemuan dengan datuk bandar dan wakil Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membincangkan masalah ini selain mendirikan tempat tinggal sementara bagi gelandangan di KL.

“Kami sudah menyuarakan minat untuk bekerjasama dan membantu dalam proses (vaksinasi) ini.”

Cheah berkata Kechara mempunyai pangkalan data gelandangan dan bersedia bekerjasama dengan kementerian itu. – 23 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen