Majlis pengebumian, kenduri tahlil punca 1 lagi kluster baharu di Sarawak


Penularan jangkitan Covid-19 melibatkan kluster Rajang berpunca daripada satu majlis pengebumian dan kenduri tahlil yang diadakan di kampung tersebut pada 1 hingga 3 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2021.  

JABATAN Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan satu lagi kluster baharu jangkitan Covid-19 iaitu Kluster Rajang di Tanjung Manis, Bahagian Mukah.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kluster Rajang merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di Kampung Rajang, Tanjung Manis dan hasil saringan serta pengesanan kes secara aktif kepada indeks kes tersebut, 28 kes positif dikenal pasti.

“Penularan jangkitan Covid-19 melibatkan kluster ini berpunca daripada satu majlis pengebumian dan kenduri tahlil yang diadakan di kampung tersebut pada 1 hingga 3 Mac. Setakat ini, kluster ini telah melibatkan individu dan kontak dari daerah Tanjung Manis, Sarikei dan Kuching. 

“Indeks kes iaitu kes ke-11,463, iaitu seorang perempuan warga tempatan berumur 55 tahun telah dikesan melalui saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 pada 4 Mac lepas di daerah Sarikei,” menurut kenyataan itu.

Sejumlah 271 individu telah disaring dengan 29 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 159 individu negatif dan 83 individu masih menunggu keputusan.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut mengisytiharkan kluster Jun Heng, Bintulu ditamatkan setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari.

Sarawak hari ini merekodkan 124 kes baharu Covid-19, ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 14,374 kes. – Bernama, 22 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen