M. Indira Gandhi mahu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meminta maaf kerana tidak menepati janji untuk mencari anak perempuannya yang dilarikan oleh bekas suami.
Indira di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini berkata beliau sedih selepas sekian lama berjuang untuk mendapatkan anak perempuannya daripada bekas suaminya yang memeluk Islam.
“KPN perlu meminta maaf atas apa yang dikatakannya (janji). Sangat menyedihkan apabila mengetahui KPN (Hamid) telah berjanji banyak perkara (tetapi) beliau akan bersara pada Mei dan apa akan terjadi selepas itu?
“KPN lain, dan itu akan menjadi kisah yang sama? Kami tidak mahukannya. Kami mahu masalah ini diselesaikan,” katanya.
Bekas guru tadika itu berada di lobi Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mendapatkan arahan mahkamah agar polis mengemukakan afidavit bulanan terhadap anak perempuannya yang hilang, Prasana Diksa, yang kini berusia 12 tahun.
Perintah mahkamah pada 2014 mengarahkan polis mengesan kanak-kanak perempuan yang dibawa lari oleh bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah selepas menukar agama tiga anak mereka, termasuk Prasana yang ketika itu masih bayi, tanpa pengetahuan si ibu.
Namun, sehingga hari ini polis berkata mereka belum berjaya mengesan sama ada Prasana atau Riduan.
Indira juga berkata beliau kecewa melihat polis tidak mengambil tindakan besar sewajarnya terhadap perintah mahkamah pada 2014.
“Kami memperoleh keputusan mahkamah persekutuan dan hingga hari ini tada berita mengenai Prasana Diksa,” katanya, merujuk kepada keputusan mahkamah pada 2018 untuk membatalkan penukaran agama secara sepihak kesemua anak-anaknya oleh ayah mereka.
Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy berkata sudah dua tahun sejak KPN berjanji untuk bertemu dengan Indira. – 22 Mac, 2021.
Berita penuh di sini
Komen