PELANCONGAN domestik bukan penyebab lonjakan kes Covid-19 dalam kalangan pelancong rentas negeri, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Mereka memberi maklum balas terhadap kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam yang mengatakan bahawa kerajaan mengesan 3,170 kes akibat aktiviti merentas negeri sejak 1 Januari.
MAH berkata jumlah berkenaan merupakan 0.95% daripada jumlah kes di negara ini.
“Walaupun jumlah ini kelihatan tinggi tetapi antara jumlah besar ini adalah kluster Tembok Mempaga di Pahang dengan 808 kes, kluster Pasai di Sarawak dengan 2,693 kes dan kluster Tembok Bukit Besi di Terengganu dengan 443 kes.
“Kluster Tembok Mempaga melibatkan pindaan seorang tahanan baharu ke Penjara Bentong, kluster Pasai melibatkan individu yang tidak mengikuti arahan kuarantin di Rumah Panjang Langi manakala kluster Tembok Bukit Besi pula melibatkan Pusat Koreksional Dungun. Ketiga-tiga kluster ini sahaja adalah sebanyak 3,944 kes,” katanya.
Noor Hisham semalam berkata bahawa kes-kes rentas negeri merupakan kluster yang melibatkan kes indeks atau kes pertama yang dikesan mendapat jangkitan Covid-19 dari negeri lain, dan seterusnya mengakibatkan penularan jangkitan tempatan.
Sehubungan dengan itu MAH mendesak kerajaan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri bersasar dan terkawal.
Persatuan itu berkata bahawa industri pelancongan sudah mematuhi semua SOP ditetatpkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Jelas kelihatan penularan kes-kes Covid-19 yang tinggi yang melibatkan aktiviti rentas negeri tidak berpunca dari pergerakkan pelancongan domestik di mana keadaan yang sama juga terkawal semasa Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan dilaksanakan pada bulan Jun sehingga September 2020.
“Industri pelancongan terutamanya perhotelan telah mematuhi semua SOP yang ditentukan oleh kerajaan dan MKN, dan persatuan juga telah memperkenalkan persijilan kebersihan dan kesihatan “Clean & Safe Malaysia” untuk sektor penginapan, satu-satunya yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Malaysia (Motac).
“Industri berharap Kerajaan dan MKN akan membenarkan pergerakkan rentas negeri secara bersasar dan terkawal, MAH juga telah mengemukakan cadangan SOP tambahan kepada Motac dengan mekanisma pergerakkan yang diselaraskan antara masa daftar masuk hotel dengan aplikasi MySejahtera sama ada melalui kenderaan persendirian ataupun penerbangan,” kata mereka.
MAH menambah bahawa kerajaan juga boleh memberi kebenaran rentas negeri kepada mereka yang menghadiri mesyuarat, konvensyen atau pameran dengan pendaftaran awal dan tempahan bilik hotel.
Dengan industri pelancongan yang paling terjejas dan sangat memerlukan ruang untuk menjana pendapatan, MAH berkata pasaran domestik adalah satu-satunya harapan industri untuk bertahan sehingga pelancongan antarabangsa pulih. – 22 Mac, 2021.
Komen