KM Pulau Pinang terima dos kedua vaksin Covid-19


Di Pulau Pinang, lebih 31,000 individu layak untuk menerima suntikan vaksi Covid-19 bagi fasa pertama di mana lebih kurang 3,000 individu yang sedang menunggu untuk disuntik dos pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2021.  

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II Profesor Dr. P. Ramasamy, hari ini melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Turut menerima suntikan dos kedua hari ini Pengarah Kesihatan Negeri Dr Asmayani Khalib, Ketua Polis Negeri Sahabudin Abd Manan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Abdul Razak Jaafar, di Pusat Pemberian Vaksin, Hospital Pulau Pinang bermula pukul 12.10 tengah hari.

Suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 22 hari kesemua mereka menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan, pada 28 Februari lalu.

Bercakap dengan pemberita selepas menerima suntikan itu, Chow berkata setakat 21 Mac, seramai 28,316 orang telah menerima suntikan dos pertama bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 di Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang, lebih 31,000 individu layak untuk menerima suntikan bagi fasa pertama ini. Maknanya, lebih kurang 3,000 individu yang sedang menunggu untuk disuntik dos pertama.

“Pemberian dos kedua sudah mula sejak beberapa hari lalu dan hingga 21 Mac, seramai 328 orang telah terima dos kedua,” katanya.

Tambahnya, seramai 444,185 individu telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera di Pulau Pinang. – Bernama, 22 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen