Penerima vaksin Covid-19 di kawasan pedalaman boleh daftar secara bersemuka


Pendaftaran secara bersemuka dijalankan dengan memberi keutamaan di kawasan liputan internet terhad dan komuniti yang tidak mempunyai peranti digital. – Gambar EPA, 22 Mac, 2021.

PENDAFTARAN secara bersemuka untuk penerima suntikan vaksin Covid-19 dilaksanakan di kawasan luar bandar terutamanya di kawasan liputan internet terhad dan komuniti yang tidak mempunyai peranti digital.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata program jangkau komuniti diselaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang bergerak dari rumah ke rumah di kawasan pedalaman bagi melaksanakan pendaftaran secara manual.

“Daftar secara manual dan bersemuka ini penting menjelang fasa kedua iaitu kepada golongan warga emas kerana kita ingin pastikan mereka ini tidak tercicir,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di Putrajaya hari ini bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Mengenai laporan 90% warga emas di Selangor tidak mendaftar, Khairy berkata pihaknya telah mengenal pasti hampir 50 pusat jagaan di negeri itu untuk dilaksanakan proses pendaftaran. 

Selain itu, katanya pusat jagaan juga boleh membuat pendaftaran secara pukal menerusi aplikasi MySejahtera untuk semua warga emas di bawah tanggungan pusat jagaan masing-masing.

Khairy berkata seramai 6,155,213 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin setakat semalam dan ia adalah 25% daripada sasaran dalam program vaksinasi terbesar negara.

Ditanya faktor mengapa masih ada yang tidak mendaftar, beliau berkata kadar pendaftaran adalah rendah kerana sikap tunggu dan lihat.

“Ada juga di kawasan luar bandar yang tidak tahu tentang program imunisasi ini, jadi kita perlu tingkatkan komunikasi bagi meningkatkan jumlah pendaftaran,” katanya.

Bagi yang mempunyai aplikasi MySejahtera namun masih tidak membuat pendaftaran, Khairy berkata talian hotline akan membuat panggilan kepada mereka bagi menasihatkan untuk segera mendaftar melalui aplikasi berkenaan. – Bernama, 22 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen