KPM perlu berkongsi data jangkitan Covid-19 di sekolah, kata ahli Parlimen


Ravin Palanisamy

Ibu bapa dan masyarakat setempat bimbang jika sekolah menjadi pusat penyebaran jangkitan dan mewujudkan kluster baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2021.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) perlu telus berkongsi data mengenai jangkitan Covid-19 di sekolah untuk mengelakkan ia menjadi pusat jangkitan, kata Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Sekolah dibuka semula awal bulan ini selepas ditutup hampir sepanjang tahun lalu kerana pandemik Covid-19, tetapi ibu bapa dan masyarakat setempat tetap bimbang pembukaan semula memandangkan kes masih tinggi, boleh meningkatkan risiko penularan virus.

“Rakyat Malaysia berasa lega dengan pembukaan sekolah, di mana anak-anak kita akan dapat meneruskan pembelajaran mereka, yang ditangguhkan berkali-kali sejak Mac tahun lalu.

“Tetapi pada masa sama, ibu bapa dan masyarakat setempat berasa gelisah jika sekolah menjadi pusat penyebaran jangkitan dan mewujudkan kluster baharu.

“Punca kebimbangan ini adalah kerana kurangnya perkongsian data oleh KPM mengenai sekolah yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 dan tiada ruang bagi masyarakat setempat terlibat dalam melindungi sekolah di daerah masing-masing,” kata jawatankuasa pendidikan pembangkang dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, KPM mesti bersikap telus dalam memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai kes Covid-19 di sekolah. 

Perkongsian data ini akan memudahkan semua pihak lebih bersedia untuk memerangi Covid-19 di kawasan mereka, tambahnya.

Mereka berkata walaupun kerajaan menyeru usaha kolektif dalam memerangi wabak Covid-19, ia tidak diamalkan dengan sekolah dan ibu bapa.

“Kerajaan meminta rakyat bekerjasama dalam memerangi Covid-19 tetapi dalam masalah ini, sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat tidak diberi kuasa, diberi ruang dan sumber untuk terlibat dalam melindungi sekolah dan anak-anak,” kata mereka.

Bulan lalu, pembangkang berkata keputusan membuka semula sekolah adalah tidak bijak.

Mereka berkata sekolah harus diberi autonomi untuk memutuskan bila akan menyambung kelas fizikal dan bukannya keputusan menyeluruh oleh kementerian agar semua sekolah dibuka semula secara serentak.

Jawatankuasa menggesa perkara ini dilaksanakan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat kes Covid-19 dilaporkan di kalangan pelajar di sekolah tertentu, tetapi sekolah terus dibuka.

Baru-baru ini, Free Malaysia Today melaporkan empat murid SK Subang Jaya didapati positif Covid-19.

Walaupun terdapat kes aktif dilaporkan, sekolah ini hanya menutup tiga kelas dan menempatkan murid yang terlibat dan 17 guru kuarantin di rumah.

Sementara itu, Jumaat lalu di SJK (C) Keng Koon, Simpang Ampat, Pulau Pinang, seorang guru sekolah rendah dan 15 murid diuji positif.

Jawatankuasa pendidikan pembangkang diketuai ahli Parlimen bebas Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP), Dr Hasan Baharom (Amanah), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda), Amiruddin Hamzah (Pejuang) dan Isnaraissah Majlis Munirah (Warisan). – 22 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen