Situasi dalam pasukan polis terkawal, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata tidak berniat menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai apabila mendedahkan wujudnya cubaan untuk menjatuhkannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Mac, 2021.

SITUASI dalam pasukan polis terkawal, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador beberapa hari selepas mendedahkan terdapat sekumpulan pegawai muda yang ingin menjatuhkannya.

Hamid berkata bukan niatnya untuk menimbulkan kegelisahan di kalangan orang ramai tetapi hanya untuk memberitahu mereka mengenai apa yang berlaku dalam pasukan polis.

“Segala-galanya menjadi panas selepas wawancara saya, tetapi bagi saya orang ramai berhak mengetahuinya. Mereka berhak mendapat lebih baik daripada polis,” kata Hamid kepada media di ibu pejabat polis Selangor.

“Saya ingin menjelaskan semuanya. Buat masa ini masalah terkawal. Namun, saya ingin mengingatkan kumpulan pegawai polis ini menghentikan apa yang mereka lakukan.”

Dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Melayu, Sinar Harian pada Rabu, Hamid berkata ada pegawai polis muda dikaitkan dengan kartel ingin mencemarkan imejnya dan menyingkirkan beliau daripada pasukan itu.

Hamid, yang dilantik sebagai ketua polis negara semasa pemerintahan Pakatan Harapan pada Mei 2019, sering mengingatkan dan memberi amaran kepada pasukannya agar tidak terjebak dengan rasuah.

Hamid berkata beliau akan segera menjelaskan keadaan yang berlaku kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Hamzah sebelum ini berkata Hamid tidak pernah membangkitkan isu itu dengan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Ini adalah pertama kali saya mendengar mengenai hal ini. Jika ia benar-benar terjadi, ia tidak dibangkitkan dalam mesyuarat suruhanjaya,” kata menteri dalam negeri berhubung dakwaan Hamid.

Hamid juga berkata beliau tidak berhasrat membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Saya akan bertemu menteri secara peribadi untuk menjelaskan perkara itu,” kata Hamid. – 22 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen