PUTRAJAYA hari ini umum bantuan khas RM10 juta sebagai bantuan khas kepada individu yang mengalami kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19.
Menteri Kewangan Dr Adham Baba berkata pampasan bukan sahaja akan diberi kepada rakyat Malaysia tetapi juga warga asing.
Pampasan sehingga RM500,000 akan diberi jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal disebabkan suntikan vaksin Covid-19, katanya.
Manakala RM50,000 bagi penerima yang menerima kesan sampingan serius.
Tambah beliau, dana bagi bantuan khas tersebut akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Menurut Dr Adham, usaha itu adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, selain meningkatkan keyakinan untuk rakyat menerima vaksin.
“Bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingandaripada penggunaan vaksin.
“Selain itu, ia juga dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga yang berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak,” katanya pada sidang media Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.
Sehubungan itu juga, Kementerian Kesihatan menubuhkan tiga jawatankuasa bagi menilai semua aspek berhubung kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19, kata Dr Adham.
Tiga jawatankuasa tersebut adalah Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin Covid-19, Jawatankuasa Teknikal Perubatan dan Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat. – 22 Mac, 2021.
Komen