Henti berbalah secara terbuka, gesa ketua penerangan Umno


Tindakan pemimpin Umno mesti berpandukan keputusan parti meskipun wujud perbezaan pandangan, kata Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2021.

BERHENTI berbalah secara terbuka sesama sendiri di media sosial, gesa Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, ketika pemimpin parti itu terus bertikai isu kerjasama dengan Bersatu.

Tindakan pemimpin mesti berpandukan keputusan parti meskipun wujud perbezaan pandangan, tambahnya.

“Andai kita ‘dua aliran’ kerana takrifan ideologi, halatuju perjuangan, pengisian tawaran dasar negara dan sebagainya - sekurang-kurangnya ia perbezaan yang membina. 

“Menyerang keputusan parti di media dalam bab yang tiada kena mengena dengan memenangi hati pengundi - ia membazir peluru, tenaga, masa dan minda yang sepatutnya ditujukan ke perkara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataannya itu menyusul selepas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa semalam menyenaraikan tujuh sebab mengapa Umno berpecah-belah mengenai hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).

Antaranya terdapat segelintir pemimpin dalam parti kecewa tidak terpilih menyertai Kabinet sehingga mendorong mereka memulakan rentak berbeza. 

Bekas perdana menteri Najib Razak dalam rekasi segeranya semalam berkata pendirian Umno tetap berpendirian bahawa kerjasama politik dengan Bersatu hanya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Terbaca berita bahawa ada pihak yang tuduh pemimpin Umno yang tolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 adalah sebab mereka teramat kecewa tidak mendapat jawatan dalam kerajaan PN,” kata bekas presiden Umno itu di Facebook.

Katanya, dakwaan itu tidak benar kerana ramai pemimpin Umno ditawar jawatan sebagai penasihat dan pengerusi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Bhd, Petronas, MISC Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd, tetapi menolak tawaran yang diberi.

Minggu lalu, media melaporkan Umno Perlis akan memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat sekiranya mereka kekal dengan pendirian mengakhiri kerjasama dengan Bersatu pada perhimpunan agung Umno yang dijadualkan akhir bulan ini.

Pengerusinya Shahidan Kassim bagaimanapun kemudian berkata Umno Perlis akan terus setia bersama dengan pusat dan tidak pernah bercadang untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat.

Dalam kenyataannya hari ini, Shahril seterusnya menegaskan Umno tidak akan menjalin kerjasama dengan Bersatu, PKR dan DAP dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerjasama dengan PAS bagaimanapun akan kekal, dan kerajaan PN didukung sehingga Parlimen bubar, katanya.

“Individu dalam parti tentunya ada pandangan masing-masing. Tidak semua yang berpendirian berbeza dari sesuatu keputusan parti semestinya terus dilabel pengkhianat atau ejen parti lain.

“Ia tuduhan berat yang tak wajar dilontar tanpa usul periksa tindakan dan tingkah lakunya, apatah lagi sesama kita dalam keluarga,” kata Shahril. – 22 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen