Jerman lanjut sekatan kekang penularan virus


Jerman terpaksa melaksanakan semula sekatan pergerakan selepas gelombang ketiga jangkitan Covid-19 merekodkan peningkatan kes.– Gambar EPA, 22 Mac, 2021.

JERMAN melanjutkan sekatan pergerakan sehingga April dalam usaha mengekang penularan koronavirus varian baharu.

Negara ekonomi terbesar Eropah itu sebelum ini mula mengurangkan sekatan dan membuka sesi persekolahan pada akhir Februari, sebelum membenarkan perniagaan beroperasi semula pada Mac.

Namun harapan untuk makan di premis, aktiviti kebudayaan serta kemudahan rekreasi terpaksa ditangguhkan selepas gelombang ketiga jangkitan Covid-19 merekodkan peningkatan kes.

Kawasan yang terjejas teruk dikenakan sekatan semula dan semua premis perniagaan ditutup.

“Melihat kepada dinamik jangkitan oleh varian Covid-19, tindakan segera amat diperlukan,” menurut satu dokumen yanng akan dibincangkan oleh Canselor Angela Merkel dan pemimpin 16 negeri di Jerman pada Isnin.

Sekatan yang sudah dilaksanakan termasuk keperluan pekerja bekerja dari rumah akan dilanjutkan hingga ke tarikh yang akan ditentukan kemudian, menurut draf dokumen berkenaan.

Beberapa media Jerman melaporkan sekatan akan dikekalkan sehingga 18 April. – AFP, 22 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen