SEBANYAK 276 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus berbahaya itu di negeri tersebut meningkat kepada 14,250 kes, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
JPBN dalam kenyataan hari ini memaklumkan terdapat satu kematian baharu melibatkan jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat virus itu di Sarawak meningkat kepada 97 orang.
“Kes kematian ke-97 melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 66 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami kesukaran pernafasan.
“Kes mula demam serta batuk sejak beberapa minggu yang lepas. Saringan Covid-19 adalah positif pada 16 Mac dan keadaan kesihatan kes didapati merosot dan meninggal dunia pada 19 Mac,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pula mengisytiharkan satu kluster tamat iaitu Kluster Sebangkoi di Sri Aman setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari dari tarikh terakhir dikesan melibatkan kluster terbabit.
Sehingga kini, sebanyak 34 kluster masih aktif di Sarawak. – Bernama, 21 Mac, 2021.
Komen