Dasar Perhutanan Malaysia satukan semua negeri, kata PM


Dasar Perhutanan Malaysia menyaksikan penyatuan julung kali semua negeri di Malaysia dalam bidang perhutanan negara yang menjangkau usia 120 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin berkata Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan hari ini menyaksikan penyatuan julung kali semua negeri di Malaysia dalam bidang perhutanan negara yang telah menjangkau usia 120 tahun.

Beliau berkata semua negeri bersetuju menerima dasar itu yang menggariskan hala tuju jelas sektor perhutanan dalam mendepani cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa pada mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 yang diadakan 29 Januari lepas.

“Saya ingin tekankan Dasar Perhutanan Malaysia ini adalah dasar kita bersama. Kita semua harus bertindak dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosioekonomi negara.

“Saya berharap usaha bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan kelima-lima objektif Dasar Perhutanan Malaysia akan terus padu bagi mencapai sasaran yang dihasratkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum melancarkan Dasar Perhutanan Malaysia bersempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah, manakala menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri menyertainya  secara maya.

Muhyiddin yang mengakui pembangunan tidak dapat dielakkan bagi Malaysia mencapai hasrat menjadi negara maju, turut berkata kerajaan amat serius berhubung pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan berkekalan dalam melaksanakan program pemuliharaan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, pelbagai usaha diambil bagi memenuhi komitmen yang diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi pada 1992 di Rio de Janeiro, Brazil dengan mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti dalam pembangunan negara

“Daripada keseluruhan kawasan berhutan di Malaysia, hanya 1.7 peratus adalah kawasan hutan terosot. Sejak 2016, seluas 1,859 hektar kawasan terosot dipulihkan dengan peruntukan sebanyak RM152.82 juta,” katanya.

Perdana menteri berkata kos bagi mengekalkan dan memelihara kawasan hutan negara yang merangkumi 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar daripada keluasan keseluruhan negara, adalah sangat besar dan dianggarkan sebanyak RM6 bilion diperlukan untuk tujuan itu. – Bernama, 21 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen