Ibu bapa di Selangor persoal kewajaran buka semula sekolah


Angie Tan

Ibu bapa di Selangor mempersoalkan adakah keputusan KPM membuka sekolah tepat ketika kes Covid-19 masih tinggi terutamanya di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2021.

KEBANYAKAN ibu bapa di Selangor gelisah susulan beberapa kes jangkitan Covid-19 membabitkan murid dilaporkan sejak sekolah dibuka semula awal bulan ini.

Ia sekali gus mencetus persoalan sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) membuat keputusan tepat membuka sekolah ketika kes Covid-19 masih tinggi terutamanya di negeri itu.

Malah isu ini dibangkitkan Adun Pandamaran Tony Leong Tuck Chee, yang berkata kerajaan sepatutnya menangguhkan dahulu pembukaan sekolah secara bersemuka, sebaliknya meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehinggalah semua murid telah disuntik vaksin Covid-19.

Adun Teratai Bryan Lai Wai Chong senada dengan Leong dalam hal ini, berkata KPM sepatutnya menangguhkan sesi persekolahan untuk setahun.

“Sebilangan ibu bapa mungkin berpendapat penangguhan sesi persekolahan selama setahun akan memberi kesan negatif, tetapi saya percaya kesihatan anak-anak perlu diutamakan.

“Sebagai ibu bapa sudah tentu kita mementingkan kesihatan anak terlebih dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Adun dari DAP itu menambah, kerajaan sepatutnya meminta maklum balas dari ibu bapa sebelum mengambil keputusan untuk membuka semula sekolah secara bersemuka.

Katanya lagi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah menambahkan lagi kebimbangan ibu bapa.

“Kita boleh tengok sendiri, berapa ramai yang patuh pada SOP?

“Ibu bapa jadi bimbang apabila ramai yang tidak patuh pada SOP sepenuhnya. Saya sendiri banyak kali ingatkan anak supaya selalu cuci tangan dan pakai pelitup muka semasa di sekolah.”

Laporan mengenai jangkitan Covid-19 membabitkan murid mencetus kerisauan dalam kalangan ibu bapa di kawasan Teratai di Selangor, lantas satu petisyen bagi mendesak KPM menutup sekolah dilancarkan.

“Walaupun tiada kes dilaporkan di Teratai, tetapi ibu bapa tetap bimbang,” kata Lai.

Tiada pilihan lain

Adun Balakong Wong Siew Ki, juga dari DAP, bagaimanapun tidak bersetuju dengan Lai.

Ini kerana ibu bapa sudah tentu maklum sesi pembelajaran dalam talian sukar untuk dilaksanakan dengan menyeluruh, katanya.

“Pertama sekali, ramai murid tidak mempunyai komputer.

“Kebanyakan ibu bapa juga bekerja, jadi siapa yang akan memantau kelas dalam talian anak mereka?” soalnya.

Wong berkata keadaan ini menyebabkan kerajaan tiada pilihan lain dan terpaksa membuka semula sekolah secara bersemuka.

Tambahnya, jangkitan Covid-19 tidak semestinya berlaku di sekolah, sebaliknya virus itu boleh dijangkiti di kawasan seperti di tempat kerja, pusat membeli-belah dan lain-lain.

“Apabila murid balik ke rumah, mereka berpotensi mendapat jangkitan di mana sahaja.

“Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa meneliti bagaimana untuk memastikan sekolah dan ibu bapa patuh pada SOP.

“Jangkitan hanya boleh dielakkan jika SOP dipatuhi sepenuhnya,” kata Wong.

Beliau turut mencadangkan supaya KPM mengadakan sesi PdPR dan sesi bersemuka dijalankan serentak.

Dengan cara itu, ibu bapa mempunyai pilihan sama ada mahu menghantar anak ke sekolah atau mengikuti kelas dalam talian di rumah, jelasnya.

“KPM boleh memasang kamera di dalam kelas supaya murid di rumah juga boleh mengikuti pembelajaran.

“Dengan ini, ibu bapa tidak perlu bimbang anak mereka mendapat jangkitan.”

Bukan hanya tanggungjawab sekolah

Adun Kinrara Ng Sze Han berkata apa sahaja keputusan yang diambil kerajaan tidak akan dapat memuaskan hati ibu bapa.

Beliau dalam pada itu juga mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk membendung jangkitan Covid-19 tidak hanya terletak di bahu sekolah, tetapi juga ibu bapa.

“Ini juga tanggungjawab ibu bapa kerana jangkitan kebanyakannya disebarkan dalam kalangan ahli keluarga.

“Ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih dewasa mungkin membawa virus dari tempat kerja, kemudian disebarkan kepada anak dan seterusnya ke sekolah.” – 22 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen